Sabtu, 23 March 2019 | 3:03pm
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Agong titah UiTM daulat institusi Raja-Raja Melayu

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) supaya mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu supaya sebati dalam jiwa golongan anak muda.

Baginda yang juga Canselor UiTM, bertitah ini kerana institusi Raja-Raja Melayu adalah identiti tamadun pemerintahan negeri beraja yang menjadi payung kepada perpaduan dan penyatuan rakyat.

Baginda bertitah, UiTM yang dibangunkan atas semangat untuk memartabatkan bangsa, wajar menerapkan nilai-nilai perpaduan dan penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Justeru, amat bertepatan bagi universiti ini mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu supaya ia menjadi sebati dalam jiwa anak-anak muda bangsa.

“Institusi Raja-Raja Melayu adalah identiti tamadun pemerintahan negeri Beraja yang menjadi payung kepada perpaduan dan penyatuan.

“Identiti ini perlu terus disubur dan ditanam dalam setiap jiwa anak muda, khususnya graduan universiti ini. Sebagai sebuah universiti yang kaya dengan warisan sejarah, UiTM hendaklah sentiasa menyuntik nafas dinamik dalam pembentukan acuan masyarakat berbilang bangsa dan agama yang bersatu padu bawah payung pemerintahan beraja.

“Hanya melalui kesatuan dan perpaduan sahajalah, negara kita Malaysia akan terus mengorak langkah merentasi segala halangan ke mercu kejayaan,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Konvokesyen Ke-90 UiTM di Dewan Agong Tuanku Canselor yang bermula hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Azraai Kassim.

Baginda dan Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan ucapan tahniah kepada graduan dan keluarga yang turut serta meraikan kejayaan yang bakal mengorak masa depan graduan.

“Dalam mengharungi zaman yang penuh kompetitif ini, graduan hendaklah bekerja keras dalam setiap kerjaya yang bakal diceburi.

“Tiada jalan pintas untuk mengecapi sesuatu kejayaan. Rahsia untuk berjaya dalam kehidupan hanyalah melalui keperibadian yang disulami sifat usaha, takwa dan mulia.

“Keperibadian inilah yang wajib dijunjung oleh setiap graduan dalam mengharungi alam pekerjaan dan liku-liku kehidupan,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan tahniah kepada Sultan Hassanal Bolkiah atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Islam.

“Sebagai Canselor UiTM, Paduka Adinda berbesar hati mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Islam kepada Paduka Kekanda.

“Pemerintahan yang berpaksikan falsafah ‘Melayu Islam Beraja’ yang dijunjung oleh Paduka Kekanda dalam setiap aspek pentadbiran negara dan sosio budaya, berjaya membentuk identiti negara, bangsa dan tamadun Brunei yang berasaskan kepada ajaran Islam.

“Amat bertepatan bagi UiTM yang ada ikatan pertalian dengan bangsa Melayu, Islam serta institusi Yang di-Pertuan Agong untuk menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Islam kepada seorang tokoh serta legenda kepemimpinan dunia Melayu Islam yang tiada bandingannya, ” titah baginda.

Berita Harian X