Ahad, 24 March 2019 | 12:28pm
PASAR Borong Selayang menjadi tumpuan pengguna mendapatkan hasil laut. - Foto Eizairi Shamsudin

EKSKLUSIF: Pendatang kaut untung

KUALA LUMPUR: Nasib nelayan yang saban hari memerah keringat memastikan bekalan ikan berterusan untuk rakyat, kekal tidak berubah apabila pulangan diterima masih tidak seberapa, malah jauh lebih rendah daripada pendapatan diraih pendatang asing yang menjual hasil laut itu di pasar borong.

Hasil tinjauan BH di Marang, Terengganu dan Sungai Besar, Selangor mendapati bagi ikan kembung, nelayan hanya dibayar antara RM6.50 hingga RM10 oleh peraih bagi setiap kilogram (kg). Peraih kemudian mengambil untung RM2 dan menjualnya pada harga RM8.50 hingga RM12 kepada pemborong.

Di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang contohnya, harga borong yang menjadi ‘rahsia terbuka’ dalam kalangan pemborong dan pekerja sepatutnya hanya RM13 setiap kg, tetapi penjual pula yang rata-ratanya pendatang asing dari Myanmar yang dipercayai dibayar gaji oleh pemborong atau penyewa lot di pasar itu mengambil pula komisen sehingga RM1.50.

Ia menjadikan harga meningkat kepada RM14.50 ketika dibeli peniaga runcit yang kemudian menjualnya pada harga antara RM16 hingga RM22 kepada pengguna, menyaksikan beza harga jualan dari peringkat nelayan sehingga pengguna adalah antara RM10 hingga RM16.

PASAR Borong Selayang menjadi tumpuan pengguna mendapatkan hasil laut. - Foto Eizairi Shamsudin
PASAR Borong Selayang menjadi tumpuan pengguna mendapatkan hasil laut. - Foto Eizairi Shamsudin

Harga ikan kembung bergantung kepada lokasi ia dijual di pasaran runcit, boleh mencecah RM22 setiap kg di pasar Putrajaya dan antara RM18 hingga RM20 di pasar sekitar Shah Alam.

Mampu raih komisyen RM4,500 sebulan

Di Pasar Borong Kuala Lumpur yang menjadi pusat pengumpulan ikan utama bagi Lembah Klang, terdapat 80 lot niaga khusus untuk menjual pelbagai hasil laut. Setiap tauke atau penyewa lot menjual lebih lima jenis ikan termasuk purata 100kg ikan kembung sehari, bermakna penjual atau pekerja mereka mampu meraih komisen sehingga RM4,500 sebulan.

Jika komisen pada kadar sama diambil atas empat jenis hasil laut lain yang juga dijual pada purata 100kg sehari, pendatang asing terbabit mampu meraih sehingga RM22,500 sebulan dicampur komisen bagi ikan kembung, tidak termasuk gaji harian dibayar tauke.

Rantaian transaksi pembekalan ikan yang melalui beberapa lapisan daripada nelayan kepada pemborong sehingga peniaga di pasar borong sebelum ke pasaran runcit, menyebabkan harga hasil laut itu meningkat berkali ganda dan akhirnya ditanggung oleh pengguna.

Ikan di pasar borong berkenaan juga dijual dalam kuantiti tinggi, purata minimum 10kg bagi setiap jenis untuk pasaran kedai runcit, pasar atau pasar raya. Jika penjual ikan atau pekerja pasar meraih komisen RM1.50 bagi setiap kg ikan kembung, tauke pula mengaut hasil lebih besar, antara RM4.50 hingga RM5.

PASAR Borong Selayang menjadi tumpuan pengguna mendapatkan hasil laut. - Foto Eizairi Shamsudin
PASAR Borong Selayang menjadi tumpuan pengguna mendapatkan hasil laut. - Foto Eizairi Shamsudin

Jumlah komisen diperoleh pekerja warga asing itu bagaimanapun dipercayai jauh lebih tinggi kerana turut mengambil komisen bagi jenis ikan yang lain.

Walaupun harga ikan tidak tetap kerana mengikut harga pasaran semasa, jumlah keuntungan dijana pemborong serta pendatang asing yang menjual ikan tidak jauh berbeza, lebih besar berbanding pendapatan nelayan yang memperoleh antara RM6.50 hingga RM8 atau RM10 setiap kg.

Kos akibat peningkatan berganda harga ikan kerana rantaian pembekalan yang panjang serta komisen untuk pekerja di pasar borong, akhirnya ditanggung pengguna yang terpaksa membayar berkali ganda lebih tinggi berbanding harga di peringkat nelayan.

Tinjauan BH di Pasar Borong Kuala Lumpur, bermula jam 12 tengah malam sehingga pasar ikan ditutup pada jam 10 pagi, mendapati aktiviti mengutip komisen atau dirujuk ‘cukai tambahan’ itu dianggap perkara biasa. Ketika sesi menjual ikan ditutup, hanya sebahagian kecil ikan berbaki, namun ia dikatakan akan dijual semula apabila sesi dibuka semula jam 10 malam.

Berita Harian X