Ahad, 24 March 2019 | 12:30pm
SUPARNI membaiki enjin bot ketika ditemui di jeti nelayan Sungai Besar, Sabak Bernam, baru-baru ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
SUPARNI membaiki enjin bot ketika ditemui di jeti nelayan Sungai Besar, Sabak Bernam, baru-baru ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

EKSKLUSIF: Nelayan terpaksa jual kepada tauke

KUALA LUMPUR: Berhutang dengan tauke atau peraih antara punca menyebabkan nelayan terpaksa menjual hasil tangkapan mereka kepada orang tengah walaupun sedar harga ikan dibekalkan mereka berkali ganda lebih tinggi apabila dijual di pasar borong atau runcit.

Selain terikat dengan tauke, mereka juga lebih gemar menjual terus ikan kepada peraih yang siap sedia menunggu di jeti kerana menganggapnya lebih mudah berbanding terpaksa menunggu pelanggan.

Ketika wartawan BH cuba menemubual beberapa nelayan di sekitar Sungai Besar dan Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini, hampir semua tidak berani ‘membuka mulut’ apabila diajukan persoalan mengenai peranan orang tengah.

Cuma, Suparni Puing, 58, yang lantang memperkatakan isu berkenaan kerana dia nelayan pantai yang tidak terikat dengan tauke.

“Saya tidak berhutang, jadi saya bebas nak jual kepada sesiapa saja. Saya boleh jual pada harga lebih tinggi sedikit daripada harga ditetapkan tauke, namun harganya tetap jauh lebih murah berbanding harga di pasar. Justeru, ramai pelanggan yang datang membeli ikan di jeti,” katanya ketika ditemui di Jeti Pantai Kampung Nelayan, Sungai Besar.

Beliau yang popular dengan panggilan Wak Supar dan menjadi nelayan sejak 45 tahun lalu berkata, ramai rakannya terpaksa menjual hasil tangkapan kepada tauke kerana kesempitan wang untuk membiayai kos membaiki enjin bot yang rosak serta penyelenggaraan peralatan termasuk bot dan pukat.

Kira-kira 30 nelayan yang mendarat di jeti itu kebiasaannya akan membawa pulang tangkapan ikan senangin, sembilang dan udang.

Wak Supar berkata, situasi mereka berbeza dengan nelayan laut dalam yang dibiayai tauke besar dan meraih keuntungan berkali ganda, sekali gus boleh pengaruhi harga di pasaran.

Mengulas isu itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Hamid Bahari mengakui, harga ikan mahal itu turut berpunca daripada tindakan orang tengah yang mengaut untung kira-kira 60 peratus berbanding harga di jeti.

“Rantaian yang cukup panjang menyebabkan harga ikan mahal. Bekalan ikan bertukar tangan banyak kali sebelum sampai kepada pengguna. Walaupun mereka mungkin ambil untung RM2 setiap kilogram (kg), jika pemborong, peraih dan peruncit kaut untung RM2, kosnya akan meningkat sebanyak RM6.

Galak dapat bekalan terus daripada nelayan

“Pengguna yang akan tanggung beban itu. Sebab itulah kita galakkan pengguna dapatkan terus bekalan daripada nelayan di pasar nelayan. Harga hampir sama dengan harga dijual kepada pemborong,” katanya sambil menambah, harga akan terus meningkat jika ikan dihantar ke luar kawasan pendaratan kerana membabitkan kos pengangkutan dan proses sejuk beku.

Secara anggaran, nelayan pantai perlu menanggung kos lebih RM100 sehari, termasuk kos petrol, makanan dan upah awak-awak, bermakna perlu meraih hasil minimum lebih 20kg sehari untuk purata keuntungan RM100. Ia belum mengambil kira kos selenggara peralatan dan risiko pulang tangan kosong disebabkan faktor cuaca atau bot rosak.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil mengakui wujud orang tengah yang mengaut untung berlebihan.

“Masalah ini wujud sejak dulu dan masyarakat mempersoalkan kenapa kerajaan tidak mampu kawal harga. Ia cuma boleh dikawal KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Percatutan 2011.

“Namun LKIM berperanan merangsang kawalan harga bekalan ikan. Jika kami dapat memastikan bekalan mencukupi, harga akan dapat dikawal, namun ia ditentukan juga faktor lain termasuk pasaran semasa,” katanya.

Berita Harian X