Isnin, 25 March 2019 | 3:26pm
Kamal ketika melakukan tinjauan di Kampung Pangkalan Pasir, Cabang Tiga Bagus di Rantau Panjang, hari ini. - NSTP/Zaman Huri Isa

Kontraktor Thailand didakwa korek pasir dalam sempadan Malaysia

RANTAU PANJANG: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat laporan polis berhubung dakwaan berlaku pencerobohan dalam kegiatan pengorekan pasir di Sungai Golok bagi pembinaan benteng sungai di sempadan Thailand.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas pada Jumaat lalu, selepas penduduk mendakwa kontraktor pembinaan benteng di negara jiran itu melakukan aktiviti pengorekan sehingga memasuki sempadan Malaysia.

Pengarah JPS Kelantan, Kamal Mustapha, berkata walaupun pihaknya tiada kuasa berkaitan hal sempadan, laporan itu dibuat supaya pihak berwajib seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melakukan siasatan dan tindakan lanjut.

“Kawasan longgokan sementara (di pembinaan benteng di sempadan Thailand) dipercayai sudah memasuki sempadan negara kita. Namun, kita tidak pasti sempadan sebenar memandangkan kalau dulu tempat paling dalam sungai adalah sempadan, namun aliran sungai berubah menyebabkan keadaan itu susah untuk dipastikan.

“Hal berkaitan sempadan perlu dirujuk JUPEM kerana ia di luar bidang kuasa kita. Kalau tanya pihak Thailand, mungkin mereka akan kata tempat yang dikorek adalah sempadan mereka.

“Apapun, sepatutnya ketika pembinaan berlaku, pihak berkuasa kedua-dua negara perlu membuat pemantauan bagi memastikan projek itu tidak melepasi kawasan sempadan ditetapkan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di Kampung Pangkalan Pasir, Cabang Tiga Bagus di sini, hari ini.

Kamal berkata, pembinaan benteng di sempadan Thailand sangat membimbangkan JPS kerana akan memberi kesan buruk kepada tebing sungai di sempadan Malaysia seperti hakisan.

Sehubungan itu, katanya, JPS merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan pelaksanaan projek Pembangunan Lembangan Bersepadu Sungai Golok Fasa Dua yang membabitkan kos kira-kira RM300 juta.

“Projek itu membabitkan pembinaan tebing Sungai Golok seperti mana dibina di sempadan Thailand di sepanjang lima kilometer di sempadan Malaysia bagi mengelakkan hakisan berikutan aliran sungai yang kuat ketika musim tengkujuh.

“Menerusi projek itu juga, kita membina lencongan sungai supaya dapat melindungi pekan Rantau Panjang daripada ditenggelami banjir. Lencongan ini dibuat supaya Sungai Golok berpecah dua bagi menampung kuantiti air jika hujan berterusan,” katanya.

Berita Harian X