Isnin, 25 March 2019 | 5:28pm
Anggota polis melakukan pemeriksaan keselamatan ke atas aset dan pesawat yang terbabit sempena LIMA ‘19 di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC), Langkawi. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pameran LIMA'19 dikawal ketat

LANGKAWI: Semua pintu masuk dan keluar di tapak Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) dikawal ketat bagi menjamin keselamatan peserta dan pengunjung ke pameran itu.

Tinjauan ke Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Padang Matsirat bagi segmen udara mendapati anggota Polis Tentera Udara (PROVOS) bertugas 24 jam.

Di pintu masuk ke landasan misalnya, kira-kira 10 anggota PROVOS lengkap bersenjata bergilir mengawasi pesawat dan pekerja yang keluar masuk ke tempat pendaratan pesawat.

Selain mereka, anggota polis termasuk unit risikan juga bertugas memastikan pekerja mendapatkan pas kebenaran masuk sebelum melakukan persiapan terakhir menjelang LIMA’19 yang bermula esok.

Di khemah sekretariat, puluhan petugas media dari dalam dan luar negara dilihat mula berbaris seawal jam 8 pagi untuk mendapat pas bagi memudahkan mereka berurusan keluar masuk membuat liputan.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati pekerja bertungkus lumus menyiapkan gerai pameran peralatan pertahanan canggih masing-masing dengan reka bentuk menarik bagi menarik perhatian pengunjung.

Pengeluar kelengkapan pertahanan, aeroangkasa dan keselamatan, BAE Systems adalah antara peserta utama di LIMA’19 giat menghias ruang pameran yang memberi tumpuan kepada pemasaran Eurofighter Typhoon.

Di landasan, tujuh pesawat milik pasukan aerobatik Jupiter One Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) dan lima pesawat SU-30M pasukan Russian Knights telah bersedia menghiburkan pengunjung pameran dwitahunan itu.

Turut bersedia di parkir pesawat dan menunggu saat melakukan aksi udara mendebarkan adalah masing-masing empat pesawat Sukhoi SU-30 MKM, FA-18 Hornet dan Hawk, selain masing-masing sebuah helikopter EC725 dan SK61, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sebanyak 54 pesawat lain yang mewakili TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Aerotree Sdn Bhd dan Tentera Udara Amerika Syarikat turut bersedia mempamerkan aksi menarik di ruang udara.

Turut serta, pesawat Tentera Udara India, Tentera Laut Pakistan, Tentera Udara Indonesia dan Tentera Udara Russia.

Sementara itu, 42 pesawat termasuk pesawat yang mendapat jolokan ‘Ikan Yu Terbang’ atau Embraer’s E190-E2 dari Brazil setia menanti pengunjung bagi pameran statik.

Berita Harian X