Isnin, 25 March 2019 | 7:18pm
KETUA Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed. - Foto Sharul Hafiz Zam

Undang-undang khas heret penjual lesen kontraktor, AP, kontrak

ALOR SETAR: Individu yang menjual lesen kontraktor, permit import (AP) dan kontrak, bakal berdepan tindakan tegas menerusi undang-undang yang bakal digubal dalam usaha kerajaan meminimumkan jenayah rasuah.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata undang-undang itu sebahagian perkara utama Pelan Anti Rasuah Nasional yang digariskan pusat berkenaan.

Katanya, perbuatan menjual lesen itu dilihat antara penyumbang utama rasuah yang membabitkan projek jutaan dan berbilion ringgit.

“Dalam masa yang sama kita pantau pelobi parti politik yang sering menggunakan jawatan untuk mendapatkan projek seperti ketua bahagian sesebuah parti, kononnya wang hasil projek digunakan untuk bahagian masing-masing tetapi sebenarnya untuk poket mereka sendiri.

“Akhirnya, pelobi ini lebih kaya dan hidup senang lenang dengan bermodalkan air liur sedangkan kontraktor yang layak tidak dapat projek dan ada yang muflis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan Pelan Anti Rasuah Nasional kepada penjawat awam di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abu Kassim berkata, syarikat kontraktor juga akan diwajibkan mengisytihar pemilik sebenar syarikat kerana kajian mendapati 55 peratus nama pemilik sebenar tidak disenarai dalam dokumen syarikat.

Katanya, senarai nama rakan kongsi sangat penting supaya kontraktor tidak menggunakan nama individu berpengaruh untuk kepentingan sendiri.

“Dalam pelan ini juga, GIACC mahu mengurangkan campur tangan ahli politik dalam pelaksanaan tugas pegawai kerajaan.

“Mengambil contoh surat sokongan daripada ahli politik, pegawai kerajaan tidak harus mengambil arahan dalam surat itu sebagai arahan mutlak sehingga menjejaskan integriti mereka.

“Ia termasuk arahan dalam penguatkuasaan contohnya pada sebelah pagi rampas mesin judi tapi sebelah petang sudah kena hantar balik kerana campur tangan ahli politik,” katanya.

Berita Harian X