Selasa, 26 March 2019 | 12:09pm
Menteri Kerja Raya, Baru Bian. - NSTP/Edmund Samunting

Semakan model projek Pan Borneo tidak babit pembatalan

KUALA LUMPUR: Semakan semula model projek Projek Lebuh Raya Pan Borneo tidak membabitkan pembatalan pembinaannya yang memanfaatkan rakyat Sabah dan Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata semakan hanya membabitkan mekanisme terbaik khususnya penjimatan kos dan keupayaan kewangan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan juga belum membuat sebarang keputusan muktamad untuk menukar Kontrak Rakan Pelaksana (PDP) Projek Lebuh Raya Pan Borneo kepada tender kontrak tunggal.

“Kita akan memastikan projek ini siap mengikut jadual iaitu 30 Jun 2021 di Sarawak dan 31 Disember tahun sama di Sabah. Setakat ini kemajuan keseluruhan projek berkenaan ialah 38 peratus di Sabah dan 12 peratus di Sabah,” katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Wuen (PH DAP-Bandar Kuching) dalam Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Projek Lebuh Raya Pan Borneo masing-masing membabitkan kos keseluruhan RM16.48 bilion untuk Sabah dan RM12.86 bilion di Sabah.

Baru berkata, pelaksanaan model projek itu sedang dinilai dan disemak semula dari pelbagai aspek, terutama membabitkan had keupayaan kewangan kerajaan yang terlalu tinggi ketika ini, berikutan komitmen kewangan sedia ada.

Katanya, ini bagi memastikan setiap peruntukan kerajaan dapat dioptimumkan sebaik mungkin dan pada masa sama tidak mengganggu pekaksanaannya.

“Penentuan mengenai hala tuju pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo akan diumumkan sebaik saja kerajaan selesai meneliti dan menimbang mekanisme terbaik berhubung penjimatan bakal diperoleh.

“Kita bukan saja memastikan projek ini siap mengikut jadual, malah kebajikan pekerja terbabit dengan pembinaannya tidak diabaikan,” katanya.

Berita Harian X