Selasa, 26 March 2019 | 3:46pm
Rina (tiga dari kiri) melancarkan kempen Senyum, Sapa, Salam (3S) KPLB pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPLB di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Geran MPKK disegerakan elak kelewatan pelaksanaan

PUTRAJAYA: Setiap permohonan geran dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan disegerakan bagi mengelak kelewatan pelaksanaan program yang dirancang.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata ia juga sebagai jaminan bahawa setiap permohonan geran MPKK adalah telus dan tidak akan dipengaruhi campur tangan politik.

Katanya, terdapat jawatankuasa yang menilai setiap permohonan itu bagi memastikan ketelusannya.

“Saya berharap warga Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dapat memastikan setiap permohonan geran dari MPKK disegerakan bagi mengelak kelewatan pelaksanaan program yang dirancang.

“Ia dibuat dengan telus. Setiap permohonan itu ada jawatankuasa yang menilai, ini bermakna apabila MPKK menghantar permohonan geran, ada ahli panel yang akan menilai. Sudah pasti apa saja perancangan atau program, matlamat utama pastilah untuk memberi manfaat kepada rakyat.

“KPLB juga sudah mengadakan kursus induksi untuk MPKK di lima negeri setakat ini, yang mana mereka diajar dengan pelbagai perkara teori dan praktikal selain dibantu dalam membuat penyediaan permohonan geran,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KPLB di sini, hari ini.

Pada Jun lalu, kerajaan memperkenalkan MPKK yang dijenamakan semula bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Geran MPKK 2019 membabitkan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi pembangunan setiap kampung.

Dalam pada itu, katanya KPLB menghantar seramai 137 pelajar untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda selama dua tahun di universiti terkemuka di Jepun di bawah Program Pendidikan Tinggi Malaysia-Jepun (MJHEP) tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Program MJHEP adalah program pengajian di luar Jepun tetapi menggunakan kurikulum universiti Jepun yang dikendalikan oleh Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

“Pada masa akan datang program berkenaan akan diperluaskan lagi dengan penambahan kursus dan seramai 150 pelajar tajaan MARA disasarkan mengikuti pengajian di Jepun,” katanya.

Berita Harian X