Rabu, 27 March 2019 | 12:37pm
TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith. - NSTP/MAHZIR MAT ISA

Kerajaan tambah baik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan sentiasa mengemaskini dan menambah baik undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memastikan ia kekal relevan dan seiring dengan peredaran semasa.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, berkata langkah itu bagi memastikan usaha menangani isu yang mampu menggugat kestabilan, keamanan dan keharmonian negara terutama membabitkan penghinaan terhadap kaum, agama dan Institusi Beraja sentiasa terjamin.

Katanya, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang sengaja menggugat keselamatan, kestabilan dan keharmonian negara.

“Peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan di bawah bidang kuasa PDRM antara instrumen perundangan khusus yang diguna pakai kerajaan bagi menangani kesalahan atau penyalahgunaan seperti provokasi dan penghinaan terhadap kaum, agama serta Institusi Beraja.

“Pendakwaan juga boleh dibuat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian berasaskan aduan yang diterima.

“Bagaimanapun, langkah pengemaskinian serta penambahbaikan undang-undang akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan ia kekal relevan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang bertanya mengenai tindakan tegas terhadap pengguna media sosial yang sewenang-wenangnya menghina agama Islam, hak istimewa orang Melayu dan Raja-Raja.

Menjawab soalan tambahan Sabri sama ada kementerian bercadang mengadakan kempen kesedaran dalam mengekang kegiatan menghina agama, Eddin Syazlee berkata usaha itu sentiasa dibuat secara berterusan oleh agensi berkaitan.

“Terdapat juga kempen dibuat secara terus kepada masyarakat bertujuan mendidik dan memberi kesedaran terhadap perkara-perkara sensitif kerana kita sentiasa mendaulatkan Institusi Beraja serta isu membabitkan agama dan perkauman,” katanya.

Berita Harian X