Rabu, 27 March 2019 | 4:36pm

Sekolah sedia kertas soalan ujian bertulis PT3 mulai tahun depan

PUTRAJAYA: Bermula tahun depan dan beberapa tahun seterusnya, kertas soalan bagi ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan disediakan pihak sekolah menggunakan bank soalan dan panduan yang disediakan Lembaga Peperiksaan (LP).

LP memaklumkan, ia sejajar dengan Pemerkasaan PT3 mulai tahun depan yang bertujuan memberi lebih autonomi kepada pihak sekolah dalam pengurusan pentaksiran pendidikan, selain memartabat profesion perguruan dengan mengiktiraf kepakaran serta peranan guru dalam bidang pentaksiran pendidikan.

Katanya, Pemerkasaan PT3 akan dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu mengekalkan Pentaksiran Pusat (PP) sedia ada bagi lima mata pelajaran dan Pentaksiran Sumatif peringkat menengah rendah kendalian sekolah bagi 18 mata pelajaran lain.

“PP merujuk kepada pentaksiran yang dilaksanakan secara perkongsian kebertanggungjawaban antara LP dan pihak sekolah melalui kertas soalan ujian bertulis oleh LP, dan pentadbiran pentaksiran dikendalikan sepenuhnya oleh sekolah.

“Pentaksiran Sumatif pula adalah pentaksiran yang dijalankan di akhir suatu pembelajaran seperti peperiksaan akhir tahun, yang bertujuan memperoleh maklumat mengenai pencapaian murid dan dilaksanakan sepenuhnya oleh sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, LP berkata format PT3 mulai tahun ini dibangunkan mengikut kesesuaian dan keperluan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), selain mengambil kira pandangan murid, guru, pentadbir dan ibu bapa melalui kajian berkaitan pelaksanaan PT3 yang dijalankan sejak 2015.

Katanya, libat urus berkaitan perubahan format PT3 dan Pemerkasaan PT3 diadakan bersama Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan wakil tiga kesatuan guru serta persatuan guru pada 11 Disember tahun lalu.

“Perubahan format PT3 juga dimaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melalui Surat Siaran LP Bil 5/2018: Format PT3 Bagi Mata Pelajaran KSSM Mulai 2019 bertarikh 29 November 2018.

“Seterusnya, JPN sudah membuat pemakluman kepada sekolah mulai Disember 2018. Maklumat lanjut berkaitan PT3 boleh diperoleh di portal LP, www.lp.moe.gov.my,” katanya.

LP berkata, Kementerian Pendidikan sentiasa berusaha memastikan usaha berterusan bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran guru dalam bidang pentaksiran pendidikan dilaksanakan bagi menjamin kualiti pentaksiran selaras Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK).

Berita Harian X