X
Khamis, 28 March 2019 | 12:57pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dikerumuni pihak media selepas menjawab soalan di dalam Dewan Rakyat, Parlimen . - Foto Mohd Yusni Ariffin
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dikerumuni pihak media selepas menjawab soalan di dalam Dewan Rakyat, Parlimen . - Foto Mohd Yusni Ariffin

3.2 juta permohonan Bantuan Sara Hidup

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3.2 juta permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 diterima setakat semalam, membabitkan 530,000 permohonan baharu dan 2.67 juta permohonan yang dikemaskini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata jumlah itu dijangka terus meningkat berdasarkan proses kemasukan data yang masih dilakukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, maklumat yang diterima daripada pemohon akan dipadankan dengan data daripada 16 agensi kerajaan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak akan menerima BSH.

“Kita mahu memastikan bantuan bersasar ini memanfaatkan kumpulan sasar berbanding sebelum ini ada golongan berkemampuan termasuk bergelar `Datuk’ menerimanya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau).

Guan Eng berkata, BSHmemanfaatkan lebih empat juta isi rumah, membabitkan peruntukan RM5 bilion.

Katanya, kerajaan juga komited memastikan tidak berlaku ketirisan dalam pemberian bantuan yang antaranya bermatlamat membantu penerima menghadapi kos sara hidup.

Berhubung kenaikan jumlah bantuan, beliau berkata ia tertakluk kepada kemampuan kewangan negara tetapi pada masa sama mengambil kira kepentingan rakyat.

“Berkali kali saya sebut, kita lihat dan ukur kemampuan fiskal pihak Kerajaan Persekutuan dan jika kita mampu, Kabinet akan putuskan (kenaikan bantuan),” katanya.

Mengenai cadangan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) supaya tarikh permohonan bantuan BSH dibuka semula kerana masih ramai golongan berkelayakan belum menerimanya atas faktor dokumen tidak lengkap, Guan Eng berkata perkara itu bukan masalah.

“Ia hanya membabitkan dokumen saja dan ia masih lagi boleh dikemaskini bagi memastikan mereka menerimanya,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X