Khamis, 28 March 2019 | 2:21pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh (kiri) berucap pada program Dialog Kempen Bebas Plastik Sekali Guna 2019 di KOMTAR Pulau Pinang. - NSTP/Mikail Ong

Pulau Pinang cadang naikkan caj beg plastik

GEORGETOWN: Kerajaan negeri bercadang menaikkan caj beg plastik kepada 50 sen sebagai usaha mengurangkan penggunaan barangan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh, berkata langkah itu juga bagi menampung kos pengurusan sisa beg plastik, sekali gus menjamin kelestarian pada masa hadapan.

“Bagaimanapun, cadangan menaikkan caj daripada 20 sen kepada 50 sen pembelian beg plastik ini masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan.

“Ia juga selari dengan cita-cita Malaysia untuk menjadi negara bebas plastik menjelang 2030 serta hasrat Pulau Pinang ke arah menjadi negeri lebih hijau,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu berkata demikian pada sidang media program Dialog Kempen Bebas Plastik Sekali Guna 2019 di sini, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan memberi tumpuan terhadap bahan gantian plastik bermula tahun ini bagi menangani isu pencemaran.

Sebelum ini, kerajaan negeri mencadangkan kenaikan caj terbabit pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, 15 November tahun lalu.

Program ‘tiada beg plastik percuma’ diperkenalkan kerajaan negeri pada 2009, sekali gus menyaksikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama mengarahkan peniaga tidak membekalkan beg plastik kepada pelanggan secara percuma.

Mengulas lanjut, Boon Poh berkata, pengusaha makanan dan hotel digesa mengurangkan penggunaan penyedut minuman, selain semua pihak diharap dapat memberi kerjasama untuk menjayakan kempen berkenaan.

“Indonesia dan Bangladesh antara negara yang sudah melaksanakan program tidak menggunakan beg plastik. Kalau negara luar boleh laksanakan pengharaman beg plastik, kenapa negara kita tidak boleh?” katanya.

Sementara itu, wakil Jawatankuasa Hijau Pulau Pinang (PGC), Siti Najihah Che Saad, berkata Malaysia adalah pengeksport plastik keempat terbesar di Asia dan ke-25 di peringkat global, pada 2017.

“Malaysia menduduki tempat kelapan di peringkat antarabangsa dalam salah urus pencemaran plastik membabitkan 0.94 juta tan sisa, malah, 13 peratus sisa pepejal di negara ini adalah plastik,” katanya.

Berita Harian X