Khamis, 28 March 2019 | 3:34pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah). - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

46,000 terima manfaat 'food bank'

KUALA LUMPUR: Program Food Bank Malaysia memberi manfaat kepada 46,000 orang di seluruh negara sejak ia dimulakan Ogos tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pelaksanaan Food Bank itu turut mengguna pakai 1,000 tan lebihan makanan yang ‘diselamatkan’ daripada pasar raya mencakupi sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil bakeri.

Katanya, kerajaan juga sudah mewujudkan Yayasan Food Bank Malaysia sebagai mekanisme pelaksanaannya dan satu kerangka undang-undang sedang digubal dengan mengambil pengalaman dari negara Perancis dan Amerika Syarikat.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai usaha kementerian untuk mengatasi masalah pembaziran makanan dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri Dewan Rakyat semalam.

Pada 2 Disember tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilaporkan berkata kerajaan bercadang menggubal Akta Pembaziran Makanan yang dilihat penting dalam usaha mengelakkan tabiat pembaziran makanan dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, Saifuddin berkata kerajaan akan mendapatkan input dari negara luar termasuk Perancis dalam menggubal Rang Undang-undang Pembaziran Makanan itu.

Beliau berkata, Perancis adalah antara negara paling ke depan dalam undang-undang seperti itu yang turut mengawal selia program Food Bank.

Di negara itu lebihan makanan daripada pusat komersial seperti Tesco disalurkan secara sistematik kepada golongan yang berkelayakan menerimanya.

“Rang udang-undang ini akan menggabungkan pengalaman negara lain untuk dibentangkan (di Dewan Rakyat),hujung tahun ini,” katanya.

Berita Harian X