Khamis, 28 March 2019 | 5:17pm
TIMBALAN Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman harap masyarakat awam memberi maklum balas terhadap peraturan yang ada supaya ia dapat diselaraskan dan relevan dengan keadaan semasa. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

MPC lancarkan portal maklum balas peraturan

PUTRAJAYA: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengambil inisiatif mewujudkan satu laman portal dikenali, Perundingan Awam Bersatu (Unified Public Consultation, UPC) bagi memudahkan pihak berkepentingan memberi maklum balas berkaitan peraturan di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata masyarakat awam juga dialu-alukan untuk memberi maklum balas terhadap peraturan yang ada supaya ia dapat diselaraskan dan relevan dengan keadaan semasa.

Katanya, peraturan seharusnya memudahkan setiap orang dalam urusan berkaitan, namun jika tidak relevan pastinya ia menyukarkan dalam segenap aspek, termasuklah membabitkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Setiap tahun, pasti ada peraturan baharu yang dipinda dan mustahil untuk diketahui oleh setiap orang. Oleh itu portal UPC yang diwujudkan dengan kerjasama Bank Dunia ini akan menjadi platform tunggal atau mekanisme untuk akses lebih mudah terhadap polisi atau peraturan yang dibuat.

"Hasil daripada pandangan yang diutarakan itu akan dinilai oleh pembuat dasar atau peraturan untuk mengubah atau sebaliknya. Yang akhirnya pandangan yang diutarakan dapat menyokong komitmen negara untuk menjadi lebih akauntabiliti, telus dan inklusif, malah berupaya mendukung aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," katanya ketika melancarkan portal UPC, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pakar Teknikal dan Polisi Amalan Baik, Datuk Ooi Say Chuan.

Pada program itu, kira-kira 150 penjawat awam daripada 21 jabatan dan agensi hadir bagi mendengar taklimat berkaitan UPC.

Abdul Latif berkata, sebaiknya juga setiap peraturan yang ada perlu diteliti dan dikaji semula setiap lima tahun sekali bagi memastikan keperluan dan kesesuaiannya.

"Ia akan membuatkan setiap orang sedar dapat menyumbang dalam membangunkan peraturan baru atau melakukan pindaan pada peraturan-peraturan yang sedia ada. Justeru, dalam tempoh pengenalan UPC, saya berharap setiap pihak akan mengambil peluang mendaftar dan ambil bahagian untuk kepentingan bersama," katanya .

Beliau menyasarkan kira-kira 10,000 orang akan berdaftar dan memanfaatkan sistem ini hingga akhir tahun ini.

Sementara itu, Say Chuan berkata, kebanyakan negara maju seperti Hong Kong dan Singapura sudah mewujudkan mekanisme ini dan ia adalah masa yang tepat untuk negara turut mengamalkannya.

"Ia dapat memberi impak dari sudut produktiviti, pelaburan yang lebih banyak, mempercepatkan proses dan menambah peluang pekerjaan.

"Ini kerana ia memberi keyakinan kepada pelabur luar untuk melabur memandangkan negara menawarkan keyakinan dan peraturan yang tidak menyekat peluang perniagaan," katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman web upc.mpc.gov.my untuk mendaftar dan mengambil bahagian.

Berita Harian X