Khamis, 28 March 2019 | 6:43pm
MURID SK Bandar Behrang 2020 menunjukkan inovasi penyedut minuman bio yang diperbuat daripada daun serai dan kertas berjaya merangkul Anugerah Emas dalam Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi peringkat antarabangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah. - NSTP/Ihsan Pembaca

4 murid SK Bandar Behrang 2020 rangkul anugerah emas

BEHRANG: Empat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020 di sini merangkul Anugerah Emas pada pertandingan reka cipta dan inovasi peringkat antarabangsa yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah, yang berakhir semalam.

Darwish El Farris Ahmad Zaini, 10; Ahmad Thaqif Aisar Abd Hadi, 11 serta Muhamad Aiman Azeze dan S Khartikgesan, masing-masing berusia 12 tahun, dengan dibimbing guru Sains, Dr S Shantarasekaran, 43, merangkul anugerah itu melalui inovasi penyedut minuman bio dihasilkan daripada daun serai dan kertas bagi menggantikan penyedut minuman plastik.

Inovasi mereka memikat hati juri pada pertandingan ‘International Student Affairs Invention Innovation and Design Competition’ (I-SAAID) yang disertai 350 pelajar dari Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Shantarasekaran berkata, penyedut minuman semulajadi dikenali sebagai ‘Ecosegar Bio Straw’ itu bersifat mesra alam selain mempunyai aroma yang unik apabila digunakan berbanding penyedut minuman diperbuat daripada plastik.

“Penyedut minuman bio ini jika dibuang boleh lupus dengan selamat kerana ia dihasilkan dengan menggunakan bahan semulajadi iaitu daripada daun serai bersama kertas.

“Idea untuk mencipta penyedut minuman bio ini dibuat melalui perbincangan dengan murid yang merasakan ciptaan ini bukan saja mampu memenangi pertandingan tetapi boleh memberi manfaat kepada masyarakat hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, penggunaan penyedut minuman bio dapat membantu mengurangkan pencemaran berbanding penggunaan bahan plastik yang sukar dilupuskan dengan mudah.

Katanya, selain itu jika penyedut minuman bio itu digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian ia secara tidak langsung akan dapat membantu golongan petani dan masyarakat kampung yang mengusahakan tanaman serai kerana tanaman itu akan mendapat permintaan lebih tinggi.

Berita Harian X