Khamis, 28 March 2019 | 11:51pm
Megat Zaharuddin (tengah) pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Azhar Ramli

4 entiti wakili peneroka, pekebun kecil hantar petisyen bantah sekatan minyak sawit

KUALA LUMPUR: Empat entiti mewakili peneroka dan pekebun kecil kelapa sawit menuntut Kesatuan Eropah (EU) menghentikan sikap tidak adil dan diskriminasi terhadap minyak sawit Malaysia.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, berkata pihaknya mengemukakan bantahan terhadap cadangan undang-undang EU berhubung membatalkan cadangan melarang penggunaan bio bahan api.

Katanya, sebaliknya, FELDA bersama FELCRA Berhad (FECRA), Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) menjelaskan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kami menyerah petisyen bagi pihak peneroka tempatan kepada ketua rombongan dan Kedutaan EU, Maria Castillo Fernandez pada mesyuarat tertutup tadi.

“Masalah mula timbul apabila EU membuat keputusan akan menggubal undang-undang yang melarang penggunaan minyak sawit sebagai bahan bakar dengan alasan ia berisiko tinggi.

“Ketika ini, EU mengimport 7.5 tan metrik setahun minyak sawit dan tiga hingga empat tan metrik hanya untuk bahan api. Kesan sekatan minyak sawit ke negara mereka akan membuatkan kita kehilangan pasaran, namun alasan yang diberikan bahawa minyak itu berisiko tinggi sangat tidak munasabah,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi FELCRA, Datuk Nageeb Wahab; Ketua Pegawai Eksekutif RISDA, Ali Sabuddin Abd Samad dan Pengerusi PKPM, Datuk Aliasak Ambia.

Antara kandungan petisyen itu ialah meminta EU membatalkan cadangan melarang penggunaan bio bahan api berasaskan minyak sawit sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui, menghentikan diskriminasi terhadap produk Malaysia, membantah undang-undang larangan minyak sawit dan memberi komitmen untuk tidak meneruskan sekatan penggunaan minyak sawit.

Sementara itu, Nageeb berkata, beliau berharap menerusi petisyen itu, pihak EU akan membatalkan cadangan undang-undang itu yang akan diputuskan bulan depan.

“Saya berharap mereka berhenti bersikap hipokrit kerana tiada sebarang kajian kukuh menunjukkan penggunaan minyak sawit adalah berisiko tinggi.

“Ia sangat tidak adil kerana hanya mendiskriminasi minyak sawit semata-mata tanpa melihat kepada kesan penggunaan minyak lain.

“Rentetan dari sekatan ini bukan hanya menyebabkan lebih 650,000 peneroka dan pekebun kecil kurang pendapatan tetapi memberi impak terhadap persepsi mata dunia,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kerajaan mungkin bertindak balas dengan menghentikan pengimportan barang tertentu dari Eropah jika mereka masih meneruskan sikap diskriminasi terhadap minyak sawit Malaysia.

Berita Harian X