Jumaat, 29 March 2019 | 11:35pm

SKMM proaktif kesan aktiviti penyamaran dalam media sosial

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan mengambil beberapa pendekatan proaktif dalam usaha melindungi pengguna daripada aktiviti penyamaran oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Pegawai Sektor Pematuhan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin, berkata antara pendekatan berkenaan, termasuklah menutup akaun terbabit dengan kerjasama pihak penyedia platform media sosial, tindakan penguatkuasaan dan kempen advokasi.

Beliau berkata antara 2018 hingga pertengahan Mac 2019 sebanyak 2,823 akaun menyamar sudah disusuli tindakan oleh SKMM dan 80 peratus daripada jumlah berkenaan sudah dipadam selaras dengan terma dan syarat platform masing-masing.

“Kesemua tindakan ini diambil selaras dengan aduan orang ramai. Tindakan tegas boleh diambil ke atas pihak yang melakukan kesalahan, berpandukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan menerusi laman Facebook rasmi SKMM di sini, sebentar tadi.

Zulkarnain berkata, SKMM juga melaksanakan program seperti ‘Klik Dengan Bijak’ (KBD) untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai kepentingan penggunaan internet secara berhemah.

Katanya, sehingga kini program KBD sudah mencapai lebih lima juta pengguna sejak ia mula diperkenalkan pada 2012.

“Sejak akhir-akhir ini tahap penggunaan internet dalam kalangan rakyat Malaysia adalah tinggi iaitu 28.7 juta orang.

“Bagi memastikan masalah penyamaran dapat dibendung dengan lebih berkesan saya berharap pengguna yang menjadi mangsa dapat melaporkan terus kepada pihak penyedia platform media sosial atau SKMM.

“Pengguna juga diingatkan supaya sentiasa mengamalkan kawal selia kendiri dan peka dengan pelbagai risiko semasa berada dalam talian,” katanya.

Berita Harian X