Sabtu, 30 March 2019 | 12:48pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada proses penamaan calon di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sri Sendayan, hari ini. - Foto Adzlan Sidek

PH tidak akan guna jentera kerajaan

REMBAU: Pakatan Harapan (PH) tidak akan menggunakan jentera kerajaan bagi meraih sokongan pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyuarakan janji itu sebaliknya berkata pendekatan yang akan digunakan PH lebih terarah kepada mendekati pengundi dengan memberikan pelbagai penjelasan mengenai usaha kerajaan membangunkan negara.

Katanya, penelitian mendapati Kerajaan Negeri Sembilan ditadbir PH kini lebih maju membangun berbanding zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Pandangan Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) saya ambil kira, justeru kita tekankan sekali lagi supaya jangan ada keterlanjuran sedemikian dan kita tidak akan sesekali gunakan jentera kerajaan,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon, di sini, hari ini.

PRK DUN Rantau pada 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru selepas disahkan menerusi pengumuman rasmi oleh Pegawai Pengurus PRK DUN Rantau, Mohd Nizam Tajul Arus, pada jam 10.30 pagi, sebaik tempoh penamaan calon tamat pada jam 10 pagi.

Perebutan kerusi DUN Rantau itu membabitkan calon BN yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; R Malar (Bebas); Mohd Nor Yassin (Bebas) dan calon PH dari PKR, Dr S Streram.

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0), semalam mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng yang memberikan kupon makanan percuma bernilai RM75,000 kepada 300 pelajar miskin dari lima sekolah dalam kawasan PRK DUN Rantau.

Walaupun tempoh berkempen belum dimulakan, Bersih 2.0 berpandangan tindakan itu boleh dianggap sebagai kesalahan dalam pilihan raya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, pula memohon supaya Dr Streram diberikan mandat oleh pengundi DUN Rantau selepas haknya untuk bertanding pada PRU-14 lalu dinafikan.

“Beri kemenangan kepada calon kita kerana PH mahukan keadilan, supaya keadilan yang sama dapat diberikan kepada rakyat,” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PH tidak sepatutnya bersikap defensif ketika turun berkempen sepanjang PRK DUN Rantau.

Beliau sebaliknya mahu jentera dan kepemimpinan PH turun padang bagi memberikan pencerahan kepada pengundi mengenai pelbagai fakta yang selama ini diputarbelitkan pembangkang.

“Apa yang pembangkang buat ini akhirnya menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat, justeru PRK DUN Rantau ialah peluang untuk kita beri penjelasan.

“Kita tidak perlu bersikap defensif, sebaliknya terangkan apa faedah hasil usaha pembangunan dirintis kerajaan ketika ini,” katanya.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan yang juga Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, pula menyifatkan calon PH sebagai ‘underdog’ berbanding Mohamad yang selama ini mendapat kepercayaan dalam kalangan pengundi di DUN Rantau.

Kulasegaran turut mengakui tugas yang bakal ditempuh PH menerusi kempen selama 14 hari untuk merampas DUN Rantau daripada UMNO bukan cabaran mudah.

“Apa yang kita minta ialah supaya untuk semua bercakap benar. Jangan gunakan isu agama dan perkauman sehingga mengelirukan rakyat,” katanya.

Berita Harian X