Sabtu, 30 March 2019 | 7:07pm
Kerajaan bersedia membuat perbelanjaan untuk memastikan bekalan air sentiasa mencukupi

Kerajaan Negeri, Persekutuan perlu bekerjasama selaraskan tarif air

SHAH ALAM: Semua kerajaan negeri diminta memberi kerjasama dalam usaha kerajaan Persekutuan untuk memajukan industri air negara ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata perbincangan berkenaan pelarasan tarif air bersama kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) masih lagi berjalan ketika ini.

Katanya, pihaknya menjangkakan keputusan pelarasan tarif air itu akan dapat diputuskan sebelum hujung tahun ini.

“Kita akan lakukan perkara yang tidak akan membebankan rakyat tetapi dalam masa sama industri air memerlukan belanja besar untuk memastikan ia maju.

“Kerajaan tidak mahu masalah air berlaku lagi dan bekalan air sentiasa ada untuk tempoh 24 jam sepanjang 365 hari setahun pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah Liga Kejohanan Pesta Sains Untuk Kanak-kanak, di sini, hari ini.

Xavier berkata, kenaikan tarif air perlu dibuat bagi menampung kos memajukan industri air negara selain memastikan tiada lagi masalah bekalan air.

“Sebab itu kerajaan sedia buat perbelanjaan untuk pastikan air sentiasa mencukupi,” katanya.

Isnin lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata cadangan pelarasan tarif air oleh KATS agak tinggi dan menghampiri 50 peratus kenaikan dari kadar sedia ada.

Amirudin berkata, pihaknya masih meneliti semua faktor bagi memastikan pelarasan tarif dipersetujui dan lebih munasabah.

“Pembaharuan yang dibuat nanti perlu memastikan pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah tidak terjejas, selain memberi insentif bagi menggalakkan penggunaan air yang lebih bijak,” katanya.

MENTERI Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar (belakang tengah) beramah mesra bersama pemenang tempat pertama dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Puchong pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan 'Science Fair For Young Children Champions League' di Pusat Konvensyen Midlands Seksyen 7. - Foto Bernama
Berita Harian X