Ahad, 31 March 2019 | 3:55pm
DZULKEFLY (tengah) bergambar bersama Jururawat yang hadir selepas melancarkan program Kampungku Sihat peringkat Parlimen Kuala Selangor di Dewan Orang Ramai, Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram. - Foto Saddam Yusoff
DZULKEFLY (tengah) bergambar bersama Jururawat yang hadir selepas melancarkan program Kampungku Sihat peringkat Parlimen Kuala Selangor di Dewan Orang Ramai, Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram. - Foto Saddam Yusoff

Tahap kesedaran bahaya NCD rendah

KUALA SELANGOR: Kesedaran orang ramai mengenai faktor risiko bahaya penyakit tidak berjangkit (NCD) masih rendah dan membimbangkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pemerhatian mendapati satu daripada dua individu tidak melakukan saringan kesihatan terutama membabitkan kes tekanan darah tinggi, diabetes dan kolestrol.

Katanya, hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) setiap lima tahun menunjukkan peningkatan peratusan individu dewasa yang menghidap darah tinggi dan diabetes.

“Berdasarkan kajian, kira-kira 50 peratus daripada kes itu didapati mereka tidak menyedari menghidap penyakit berkenaan.

“Ia antaranya berkaitan faktor kesedaran dan kepekaan yang amat rendah mengenai risiko bahaya penyakit berkenaan termasuk enggan menjalani saringan kesihatan.

“Walaupun beranggapan ia hanya NCD, keadaan itu pada hakikatnya mendedahkan mereka dengan komplikasi jangka masa panjang seperti strok dan serangan jantung jika tidak mendapatkan rawatan awal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Kuala Selangor di Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim.

Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, berkata individu yang dikenal pasti berisiko menghidap NCD dinasihatkan merujuk dengan hospital dan klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Kita tidak mahu ia terus menjadi antara penyumbang utama kematian di negara ini selain penyakit kanser paru-paru.

“Saringan kesihatan perlu dilakukan terutama golongan dewasa bagi memastikan tekanan darah, bacaan gula dalam darah dan pengiraan indeks jisim badan (BMI) berada pada tahap normal atau terkawal,” katanya.

Program Kampungku Sihat adalah antara inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mencegah peningkatan NCD.

Menerusi program itu, seramai 550 pelatih Institusi Latihan KKM akan bergerak dari rumah ke rumah untuk mengadakan saringan kesihatan asas kepada penduduk.

Parlimen Kuala Selangor menjadi destinasi kedua pelaksanaannya selepas Langkawi yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu.

Berita Harian X