X
Isnin, 1 April 2019 | 11:50am
Anthony Loke.
Anthony Loke.

Penyelarasan bidang tugas agensi penguatkuasaan jalan raya dalam kajian

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan kini di peringkat kajian bagi menyelaraskan bidang tugas agensi penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

Menterinya, Anthony Loke, berkata langkah itu bagi membolehkan rakyat memahami bidang tugas penguatkuasaan agensi berkenaan.

“Cadangan penyelarasan agensi penguatkuasaan undang-undang jalan raya bertujuan mengelak penguatkuasaan yang bercelaru supaya rakyat tahu agensi mana yang menjalankan penguatkuasaan.

“Kita berharap cadangan ini dapat dilaksanakan... kalau dilaksanakan nanti, saya harap Kubang Kerian dan pembangkang memberi sokongan penuh kepada cadangan ini,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Loke menjawab soalan dikemukan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat menyelaras tugas agensi penguatkuasaan jalan raya supaya tidak berlaku tugas yang bertindan antara agensi terbabit.

Terdahulu menjawab soalan asal Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik), Loke menegaskan kerajaan tidak berhasrat menambah bilangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Beliau berkata, mengikut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), pelaksanaan AES menyumbang kepada penurunan kesalahan pemandu daripada 24 peratus kepada 13 peratus.

Di samping itu, katanya pelaksanaan sistem itu juga meningkatkan jumlah pematuhan peraturan had laju dari 63 peratus sebelum pemasangan kepada 95 peratus selepas pemasangan di lokasi berkenaan.

Sementara itu, katanya jumlah notis saman yang dikeluarkan dari September 2018 hingga Disember tahun sama adalah sebanyak 84,165 notis, manakala bagi tempoh Januari 2019, sebanyak 22,981 notis saman dikeluarkan.

Berita Harian X