Isnin, 1 April 2019 | 5:32pm
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

SPR nafi lewatkan PRK DUN Rantau

SEREMBAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan ia melewatkan penetapan tarikh penamaan calon dan hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bagi menghentikan momentum kebangkitan Barisan Nasional (BN) seperti didakwa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, menegaskan SPR tidak dipengaruhi sebarang parti politik atau fahaman politik dalam menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundi PRK DUN Rantau.

Katanya, SPR mengambil kira pelbagai aspek seperti ditetapkan perundangan dan mengadakan Mesyuarat Khas pada 6 Mac lalu bagi menetapkan tarikh penting PRK berkenaan walaupun ia membuat persiapan bagi menghadapi PRK DUN Semenyih pada 2 Mac lalu.

“Sebagai sebuah Institusi Perlembagaan yang mana ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, SPR sentiasa menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan profesional serta tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam mana-mana pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam ceramahnya di Bandar Sri Sendayan malam tadi, Mohamad mempersoalkan mengapa SPR mengambil tempoh hampir sebulan untuk menetapkan hari penamaan calon dan pengundian selepas bermesyuarat pada 6 Mac lalu.

Beliau mendakwa tarikh dipilih SPR untuk PRK DUN Rantau adalah keputusan dipengaruhi Pakatan Harapan (PH) bagi menghentikan momentum kebangkitan dan kemenangan BN.

Menjelas lanjut, Azhar berkata, SPR menerima perakuan dari Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengenai pembatalan keputusan pilihan raya DUN Rantau pada 26 Februari 2019.

Katanya, selaras dengan Perkara LVI(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, SPR dikehendaki mengisi kekosongan kerusi terbabit dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan itu berlaku yang akan berakhir pada 26 April ini.

Beliau berkata, bagi menguruskan perjalanan pilihan raya, SPR dikehendaki mengeluarkan writ Pilihan Raya tidak kurang empat hari dan tidak lebih 10 hari dari tarikh kekosongan yang disahkan SPR selaras dengan Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958.

“SPR ingin menekankan semua peruntukan undang-undang dipatuhi bagi menentukan tarikh penting bagi PRK DUN Rantau ditetapkan mengikut kesesuaian selepas mengambil kira semua faktor,”katanya.

Berita Harian X