Isnin, 1 April 2019 | 7:00pm
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Datuk Dr Md Farid Md Rafik. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Tiada diskriminasi negeri diperintah pembangkang

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mendiskriminasi negeri diperintah pembangkang dalam penyaluran pelbagai projek pembangunan untuk manfaat rakyat seperti didakwa pihak tertentu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Datuk Dr Md Farid Md Rafik, berkata untuk negeri Kelantan yang diperintah PAS, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM1.39 bilion tahun ini membabitkan 280 projek.

“Tidak berlaku sebarang diskriminasi, walaupun negeri itu diperintah pembangkang,” katanya ketika menggulung Perbahasan Titah Diraja berkaitan Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial), di Dewan Rakyat, hari ini.

Md Farid berkata, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) menumpukan pembangunan kepada enam negeri, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Dalam pada itu, berlaku sedikit kekecohan dalam kalangan wakil rakyat pembangkang berhubung peruntukan yang mereka dakwa kecil berbanding wakil kerajaan .

Mereka mahu jumlah RM100,000 sekarang dipertingkatkan sama seperti diperuntukkan kepada wakil rakyat kerajaan, iaitu RM1.5 juta.

Antara yang mengambil bahagian ialah Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) dan Awang Hashim (PAS-Pendang).

Menjawab isu berkenaan, Md Farid berkata jumlah berkenaan tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Seperti kawasan diwakili wakil rakyat kerajaan, kami juga tidak akan mengabaikan kawasan diwakili wakil rakyat pembangkang,” katanya.

Berita Harian X