Selasa, 2 April 2019 | 4:21pm
Sebanyak 33 kes penculikan kanak-kanak untuk tebusan direkodkan dalam tempoh 10 tahun, sejak 2008 hingga tahun lalu. - Foto hiasan
Sebanyak 33 kes penculikan kanak-kanak untuk tebusan direkodkan dalam tempoh 10 tahun, sejak 2008 hingga tahun lalu. - Foto hiasan

33 kes culik kanak-kanak dalam tempoh 10 tahun

KUALA LUMPUR: Sebanyak 33 kes penculikan kanak-kanak untuk tebusan direkodkan dalam tempoh 10 tahun, sejak 2008 hingga tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata daripada jumlah itu, 27 kes berjaya diselesaikan dengan 90 tangkapan dilakukan.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa mengambil serius isu ini dan menasihati orang ramai supaya menutup segala ruang dan peluang untuk penjenayah melakukan jenayah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) berhubung statistik kes penculikan kanak-kanak di negara ini sejak 10 tahun lalu.

Menjawab soalan tambahan Sivakumar, Mohd Azis berkata tiada sindiket penculikan kanak-kanak untuk pengambilan organ dilaporkan di negara ini seperti tersebar di media sosial.

Sebaliknya, katanya, kes berkenaan berlaku di luar negara, namun ada sesetengah netizen yang menyebarkannya mendakwa berlaku di negara ini.

“Saya sendiri menerima maklumat mengenainya, namun apabila merujuknya kepada pihak polis, saya dimaklumkan ia berlaku di negara jiran,” katanya.

Katanya, polis menerusi operasi khas dikenali Ops Scorpions giat menjalankan operasi berhubung kes penculikan.

“Kita serius memerangi kes penculikan apa lagi membabitkan pelancong asing atau rakyat asing menetap di negara ini kerana ia menjejaskan imej negara,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran), Mohd Azis berkata KDN menubuhkan Jawatankuasa Khas Kajian Undang-undang dan Jawatankuasa Teknikal bagi mengkaji enam akta di bawah kementerian itu.

Akta berkenaan ialah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA); Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA); Akta Hasutan 1984; Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP).

“Ketika ini, KDN sedang meneliti kesemua isu dan pandangan yang dikemukakan oleh kedua-dua jawatankuasa itu.

“KDN akan mengemukakan syor berkenaan undang-undang berkenaan kepada Jemaah Menteri untuk diputuskan,” katanya.

Berita Harian X