Rabu, 3 April 2019 | 12:01am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan beliau pada majlis perasmian Minggu Sains Negara di Pusat Sains Negara. - Foto Asyraf Hamzah
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan beliau pada majlis perasmian Minggu Sains Negara di Pusat Sains Negara. - Foto Asyraf Hamzah

Sains bantu umat Islam jadi kuat

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan umat Islam perlu menguasai ilmu sains, matematik dan teknologi terkini jika mereka mahu menyelamatkan diri masing-masing daripada ancaman musuh.

Perdana Menteri berkata, ilmu itu penting pada zaman sekarang kerana pedang dan tombak sahaja tidak boleh menyelamatkan umat Islam daripada musuh.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, umat Islam hanya boleh selamat jika mereka menguasai pelbagai ilmu sains dan teknologi, termasuk pembuatan senjata api moden seperti senapang, meriam, roket, kereta kebal, kapal perang dan pesawat canggih.

“Itu senjata yang perlu ada kepada kita untuk mempertahankan umat Islam. Tetapi oleh kerana kita tidak mempunyai ilmu sains, maka kita tidak boleh pertahankan diri daripada musuh serta terpaksa bergantung kepada orang lain.

“Inilah yang akan berlaku kepada umat Islam jika mereka tidak menguasai fizik, kimia dan matematik lain yang membolehkan kita mencipta senjata canggih dan moden,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Sains Negara di Pusat Sains Negara di sini malam ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan ketika perasmian kilang Gamuda IBS Banting di Persiaran Graphite, Kawasan Perindustrian Bandar Mahkota Banting. - Foto Saddam Yusoff
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan ketika perasmian kilang Gamuda IBS Banting di Persiaran Graphite, Kawasan Perindustrian Bandar Mahkota Banting. - Foto Saddam Yusoff

Turut hadir, isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan Timbalannya, Isnaraissah Munirah Majilis.

Minggu Sains Negara 2019 bertemakan ‘Sains Untuk Kesejahteraan’ memberi mesej dan kesedaran sains dan teknologi memainkan peranan besar dan penting dalam mencapai kesejahteraan negara dan rakyat.

Fasa pertama Minggu Sains Negara bermula pada 1 hingga 7 April, manakala fasa kedua dijadualkan pada 2 hingga 8 Ogos depan.

Berikutan itu, Dr Mahathir menegaskan sejak dari dulu lagi kerajaan menekankan mengenai kepentingan menguasai ilmu sains dan matematik menerusi bahasa Inggeris.

“Tindakan kerajaan tertentu yang menolak mempelajari sains, teknologi dan matematik dalam bahasa Inggeris menyebabkan kita tidak kejar ilmu yang terkini dan moden kerana ia tidak datang kepada kita dalam bahasa kita.

“Saya percaya kita semua sekarang faham mengenai kepentingan penguasaan ilmu sains, termasuk perubatan yang menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Berita Harian X