Rabu, 3 April 2019 | 10:30am

Perbicaraan kes Najib bermula hari ini

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes tujuh pertuduhan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC International) membabitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Mahkamah Tinggi akan bermula hari ini.

Secara kebetulannya pada hari ini, 10 tahun lalu, Najib selaku Ahli Parlimen Pekan, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam.

Perbicaraan kes berprofil tinggi yang ditunggu-tunggu ini akan dijalankan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada jam 2 petang.

Sehingga jam 9 pagi ini, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur beroperasi seperti biasa.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram milik SRC International berjumlah RM42 juta.

Peguam Negara, Tommy Thomas, akan mengetuai pasukan pendakwaan yang dibarisi peguam kanan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk V Sithambaran.

Pasukan itu turut dibantu DPP Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Budiman Lufti Mohamed dan Muhammad Izzat Fauzan.

Manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan, dibantu peguam Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Rahmat Hazlan dan Syahirah Hanapiah. - BERNAMA

DATUK Seri Najib Razak. - Foto Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X