Rabu, 3 April 2019 | 6:59pm
Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir. - Foto Asyraf Hamzah

Suntikan dana kepada PLUS antara cadangan ke Kabinet

KUALA LUMPUR: Isu sama ada kerajaan perlu menyuntik dana kepada PLUS Malaysia Bhd (PLUS) bagi membantu pemegang konsesi itu melunaskan pinjaman sekali gus menyelesaikan isu tol akan dimasukkan dalam cadangan yang akan dibentangkan kepada Kabinet, Jun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir, berkata ketika ini kerajaan melantik perunding bebas untuk mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan berhubung isu tol termasuk penghapusan tol.

Beliau berkata, cadangan supaya kerajaan menyuntik dana kepada PLUS bagi mengelak pengguna lebuh raya terus terbeban dengan kutipan tol akan turut diambil kira.

“Adakah perlu kepada suntikan dana, kita akan lihat secara menyeluruh,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalan tambahan itu, Hasan ingin mengetahui sama ada kerajaan akan membuat suntikan dana kepada PLUS kerana mendakwa antara sebab penghapusan tol tidak dapat dilaksanakan disebabkan pinjaman terlalu tinggi dibuat syarikat konsesi itu dengan institusi kewangan.

“Selagi kerajaan tidak membuat suntikan satu jumlah dana yang besar, selagi itulah isu tol tidak akan selesai,” kata Hasan.

Terdahulu menjawab soalan asal Hasan yang mahu mengetahui kos pembinaan Lebuhraya Utara Selatan, Mohd Anuar berkata ia menelan belanja lebih RM5.9 bilion.

Beliau berkata, apabila PLUS dinyah senarai dari Bursa Malaysia pada 2011, PLUS terpaksa menerbitkan bon sukuk sebanyak RM30.6 bilion untuk membeli balik semua saham awam.

“Sebahagian besar kutipan tol adalah untuk membayar balik pinjaman sukuk bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya termasuk projek penambahbaikan yang sesuai untuk meningkatkan tahap keselamatan serta menampung jumlah trafik yang tinggi.

“Walaupun PLUS ada liabiliti meningkat, syarikat ini tidak pernah gagal membayar balik pinjaman. Ini dicapai melalui pengurusan kos yang baik serta perbelanjaan berhemah tanpa mengabaikan aspek keselamatan, kualiti seperti termaktub dalam perjanjian konsesi.

“Di bawah penstrukturan semula yang dibuat pada 2011, semua lebuh raya di bawah PLUS termasuk Lebuhraya Utara Selatan dilanjutkan tempoh tamat konsesi daripada 2018 ke 2038.

“Penstrukturan semula lebuh raya PLUS membabitkan penstrukturan kadar tol lebih rendah, kerja-kerja menaik taraf lebuh raya di mana lima persimpangan baharu dibina dan kerja pelebaran lebuh raya dilaksanakan serta pulangan kepada pemegang saham,” katanya.

Berita Harian X