Khamis, 4 April 2019 | 1:16pm
LIEW Vui Keong

RUU kembalikan kedudukan Sabah, Sarawak sebagai rakan Semenanjung dibentang

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dengan bacaan kali kedua diadakan pada mesyuarat kali ini.

RUU yang terkandung dalam versi dwibahasa empat muka surat itu bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Ia bagi menyatakan semua negeri yang membentuk Persekutuan dengan mengembalikan, dengan ubah suaian, kedudukan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan ketika pembentukan Malaysia pada 1963.

Pindaan itu dicadangkan dibuat selaras semangat Perjanjian Malaysia yang dimeterai pada 1963.

RUU itu juga menyatakan pindaan berkenaan memenuhi aspirasi dan harapan kerajaan Sabah dan Sarawak serta semua rakyat Sabah dan Sarawak.

“Pindaan ini dalam apa-apa cara tidak mengubah fungsi kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri di bawah konsep federalisme,” menurut huraian RUU berkenaan.

Terdahulu, sebelum RUU itu dibacakan kali pertama, Dewan Rakyat kecoh apabila ramai Ahli Parlimen khususnya dari Sabah dan Sarawak bangkit membantah pembentangan berkenaan termasuk mendakwa tidak menerima notis dalam tempoh 24 jam bagi meneliti kandungan RUU berkenaan.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan RUU itu dibentangkan selepas membangkitkan Peraturan Mesyuarat 48 bahawa notis mengenai perkara itu sudah dimaklumkan semalam.

“Dari segi amalan, memadai untuk hari ini dibentangkan pembacaan kali pertama. Isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen boleh dibangkitkan pada sesi bacaan kali kedua, itu amalan kita,” katanya.

Antara Ahli Parlimen yang membantah pembentangan RUU untuk bacaan kali pertama ialah Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (PBS-Kota Marudu), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong), Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Keningau), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam), Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya) dan Datuk Seri Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong).

Selepas bacaan kali pertama disempurnakan, Wan Junaidi bangkit dan meminta RUU itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pemilih bagi mengenal pasti pelbagai isu yang memberi kesan kepada rakyat Sabah dan Sarawak serta Semenanjung.

Bagaimanapun, Mohamad Ariff meminta Ahli Parlimen yang bersetuju dengan cadangan Wan Junaidi mengemukakan usul secara bertulis jika mahu RUU itu dirujuk ke Jawatankuasa Pemilih selepas ia dibacakan buat kali pertama.

Terdahulu, sebelum RUU dibentangkan, Ongkili berkata, Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak mahu RUU itu diperhalusi dari segi implikasi perundangan sebelum dibentangkan untuk bacaan kali pertama.

“Ia perlu dibincangkan secara meluas, saya merayu RUU ini tidak dibentangkan. Nampak macam tergesa-gesa sedangkan implikasi adalah serius,” katanya.

Wan Junaidi turut membangkitkan keperluan kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Pemilih untuk mengkaji peraturan undang-undang berkenaan.

Bung Moktar berkata, Jawatankuasa Pemandu dipengerusikan Perdana Menteri masih berfungsi dan berpendapat adalah lebih elok jika Dewan menangguhkan pembentangan akta buat sementara waktu.

“Kita duduk berbincang mengenai implikasi kepada rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Jeffrey juga memohon pembentangan itu tidak diteruskan kerana RUU berkenaan memerlukan perbincangan lanjut dan perlu dibentang serta dibahaskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Ketua Pembangkang mendakwa RUU berkenaan tidak membawa sebarang makna, bahkan seolah-olah mempermainkan undang-undang berkenaan.

Berita Harian X