Jumaat, 5 April 2019 | 12:26am
Maszlee menyampaikan hadiah kepada Muhammad Nazmi (dua dari kanan) yang dinobatkan pemenang pertama Kempen Guru Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21). - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Maszlee menyampaikan hadiah kepada Muhammad Nazmi (dua dari kanan) yang dinobatkan pemenang pertama Kempen Guru Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21). - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Cikgu Muhammad Nazmi pemenang Kempen Guru PAK21

CYBERJAYA: Guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Long Sukang, Lawas, Sarawak, Muhammad Nazmi Rosli dinobatkan pemenang pertama Kempen Guru Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21).

Muhammad Nazmi mengalahkan sembilan finalis lain, sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000 dan seunit telefon pintar jenama iPhone.

Tempat kedua dimenangi guru Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah, Norhailmi Abdul Mutalib, manakala guru Bahasa Inggeris di SMK Pasir Gudang, Johor, Emira Nabila Ramli, menduduki tempat ketiga.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di sini malam ini.

Program berkenaan adalah anjuran Kementerian Pendidikan menerusi Unit Pelaksanaan Prestasi Pendidikan (PADU).

Muhammad Nazmi berkata, beliau berharap lebih ramai guru dapat menggunakan pendekatan PAK21 dalam bilik darjah, sekali gus membantu mencungkil potensi sebenar pelajar.

Beliau mengakui berdepan banyak cabaran dalam melaksanakan kaedah pembelajaran itu, namun ia bukan alasan untuk mengelak pembaharuan yang dibawa dalam PAK21.

“Saya mengajar murid di kawasan pedalaman dan rata-rata mereka jarang didedahkan dengan dunia luar. Justeru, saya bawa perkara itu (dunia luar) dalam bilik darjah.

“Anak murid saya tidak pernah lihat pantai justeru, saya bawa suasana itu dalam bilik darjah,” katanya.

Beliau berharap guru dapat menjadi ejen perubahan dalam masyarakat dan kaedah PAK21 dilihat mampu untuk meneroka potensi sebenar murid dan pelajar.

Sementara itu, Maszlee berkata, kempen berkenaan diperkenalkan bagi mencari guru luar biasa yang mengaplikasikan PAK21 ke dalam bilik darjah.

Katanya, sepanjang kempen bermula 20 Disember 2018 hingga 31 Januari lalu, lebih 1,000 penyertaan diterima dari seluruh negara sebelum 10 finalis dipilih.

“PAK21 akan membantu kementerian mencapai hasrat pendidikan berasaskan nilai dan pendidikan berkualiti,” katanya.

Berita Harian X