Jumaat, 5 April 2019 | 8:22pm
KETUA Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum. - Foto Malai Rosmah Tuah.

Mahkamah Persekutuan mansuh peruntukan 'anggapan berganda'

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memansuhkan satu peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (DDA) yang membolehkan ‘anggapan berganda’ diguna pakai untuk mensabitkan seseorang tertuduh kerana mengedar dadah.

Dalam keputusan yang bersejarah, panel sembilan hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, mengisytiharkan bahawa seksyen 37A Akta terbabit bercanggah dengan Perlembagaan kerana melanggar Perkara 5 (1) yang dibaca bersama Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 5 (1) menyebut bahawa tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang manakala Perkara 8 (1) menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

“Kami berpendapat bahawa seksyen 37A ‘prima facie’ melanggar anggapan tidak bersalah kerana ia membolehkan seseorang tertuduh disabitkan sedangkan keraguan yang munasabah mungkin wujud,” kata Malanjum.

Hukuman mati mandatori akan dikenakan ke atas seseorang tertuduh yang didapati bersalah kerana mengedar dadah.

Seksyen 37A Akta Dadah Berbahaya digubal pada 2004 untuk membolehkan pihak pendakwaan bergantung pada anggapan ‘memiliki dan mengetahui tentang dadah’ di bawah Seksyen 37 (d) dan ‘pengedaran’ di bawah Seksyen 37 Akta terbabit untuk mensabitkan pengedar dadah.

Seksyen ini mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes 1998, Muhammed bin Hassan lwn Pendakwa Raya, yang memutuskan bahawa menggunapakai kedua-dua anggapan itu adalah terlalu keras dan bersifat menekan.

Kesan seksyen 37A, ke atas penggunaan kedua-dua anggapan itu ialah apabila pihak pendakwaan membuktikan bahawa tertuduh memiliki dan mempunyai kawalan ke atas dadah, maka tertuduh dianggap memiliki dan mengetahui tentang dadah itu.

“Anggapan mengenai pemilikan kemudian diguna pakai untuk membuat anggapan selanjutnya mengenai pengedaran dadah.

Malanjum berkata seksyen 37A banyak menyimpang dari kelaziman umum yang tidak dapat di justifikasi dan tidak sesuai dengan objektif perundangan.

Beliau berkata penggunaan apa yang disebut ‘anggapan berganda’ di bawah kedua-dua sub seksyen itu menimbulkan risiko nyata bahawa seseorang tertuduh boleh disabitkan dengan pengedaran dadah dalam keadaan apabila keraguan yang munasabah wujud.

“Memandangkan betapa seriusnya kesalahan dan hukuman yang diperuntukkan, kami mendapati bahawa perlanggaran serius hak tertuduh di bawah Perkara 5 (1) gagal memenuhi keperluan ‘proportionality’ (perwakilan berkadar) di bawah Perkara 8 (1),” kata beliau.

Malanjum kemudian membatalkan sabitan dan hukuman mati ke atas kedua-dua wanita warga asing - rakyat Filipina Nudo Atenza, 43, dan warga Thailand Orathai Prommatat, 27, yang didapati bersalah kerana mengedar dadah.

Mahkamah menggantikan sabitan ke atas kedua-dua mereka dengan sabitan memiliki dadah dengan Atenza dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun sementara Prommatat dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun.

Atenza dan Prommatat diperintahkan menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap iaitu masing-masing pada 19 Ogos, 2014 dan 17 Julai, 2014.

Atenza dituduh mengedar 2.5 kilogram (kg) methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 19 Ogos 2014 sementara Orathai dituduh mengedar 693.4 gram kokain dalam sebuah bilik di hotel Arena Star Luxury di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur pada 1 Julai, 2014.

Kedua-dua wanita itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan rayuan yang difailkan oleh kedua-dua mereka ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2015 dan 2016.

Panel itu turut disidangi oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ramly Ali, Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Rohana Yusuf, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nallini Pathmanathan. - BERNAMA

Berita Harian X