Sabtu, 6 April 2019 | 7:38am
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sidang media di Bangunan Perdana Putra, semalam. - Foto BERNAMA

Malaysia tarik diri Statut Rom

PUTRAJAYA: Kabinet semalam memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi Raja menentang kerajaan.

Mengumumkan keputusan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan, khususnya beliau selaku Perdana Menteri.

Katanya, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun ini selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.

Perdana Menteri turut kecewa apabila ada pihak cuba mengheret institusi Raja untuk menentang kerajaan yang didakwa kononnya mahu menyerahkan kuasa kepada negara luar dan menghakis hak serta kekebalan Raja-Raja Melayu.

“Kita tahu (isu) dipolitikkan oleh pihak tertentu yang tujuannya mahu institusi Raja menentang kerajaan sekarang. Sesetengah anggota kerabat diraja mungkin terbabit, tetapi keseluruhan rancangan ini adalah supaya kerabat diraja di Malaysia menentang kerajaan sekarang, itulah motifnya.

“Disebabkan kekeliruan ini, kami membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf statut berkenaan. Bukan kerana kita fikir ia berbahaya, tetapi kerana dipolitikkan. Mereka cakap jika kita tandatangan, kita akan hilang kebebasan, dasar dan undang-undang di negara kita. Ini tak benar.

“Yang benar, kalau kita keterlaluan buat sesuatu yang amat buruk dan tak betul, seluruh dunia akan kutuk kita, sama ada kita tandatangan (Statut Rom) atau sebaliknya,” katanya sambil memberi contoh, Myanmar tidak menyertai Statut Rom, namun seluruh dunia mengutuk negara itu berkaitan isu Rohingya.

ICC yang ditubuhkan pada 2002 dan ditadbir mengikut Statut Rom adalah mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membabitkan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.

Perdana Menteri menegaskan, Statut Rom hanya memberi kesan kepada negara peserta yang melakukan diskriminasi atau pembersihan etnik di negara mereka.

“Tapi kita tak buat semua itu, kerajaan hari ini memastikan semua berkongsi kekayaan negara. Khabar angin kata, kalau kita tandatangan, kalau kita tak tarik balik (sertai Statut Rom), kita kena ikut negara luar, bukan begitu. Umpama kalau di Eropah, mereka percaya LGBT (lesbian, gay biseksual dan transgender) OK, (tapi) kita tak OK.

“Tapi kalau kita tembak mereka (golongan LGBT) atau letak dalam penjara dan buat perkara dahsyat serta tidak ambil tindakan menanganinya, kita akan dikenakan tindakan (berdasarkan Statut Rom) sebab tak buat apa-apa,” katanya.

Ditanya mengapa isu ratifikasi Statut Rom tidak dibincangkan dengan lebih mendalam sebelum kerajaan membuat keputusan menyertainya, Dr Mahathir berkata, ia normal kerana undang-undang itu tidak berbahaya selagi negara tidak melakukan kesalahan seperti membunuh orang tanpa sebab.

“Kita sudah kaji semua undang-undang (antarabangsa) dan statut ini tak berbahaya. Saya tak fikir kita perlu perbincangan terbuka, nanti banyak sangat pandangan, akhirnya kita tak boleh buat keputusan. Sama ada Malaysia sertai Statut Rom atau sebaliknya, semua orang di negara ini tertakluk kepada undang-undang.

“Segala bentuk hukuman serta tindakan bukan ditentukan negara luar atau PBB. Mereka tak boleh ambil tindakan pada kita, contoh ‘Bossku’ curi duit, kita ambil tindakan ikut undang-undang negara, Statut Rom tak sebut negara kita ikut pihak luar,” katanya.

Beliau juga membidas pihak yang lantang menentang keputusan kerajaan itu, namun tidak berkata apa-apa ketika negara kehilangan banyak wang di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Dalam isu ini, mereka cuba memburukkan kerajaan, terutama saya sebagai pengkhianat kepada bangsa saya. Tak apalah, mereka dah label saya pengkhianat (tapi) mereka lagi pengkhianat besar. Masa Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) curi duit, tak ada satu patah pun tegur.

“Mereka bersembunyi, saya pun tak tahu di mana, tetapi mereka bimbang tindakan mungkin diambil ke atas mereka. Kepada orang ini, dulu masa Najib curi duit, tak cakap apa-apa. Saya sebut secara jelas, siapa mereka kamu boleh agak, sekarang jadi jaguh nak pertahankan hak orang Melayu.

“Saya nak beritahu, bukan kita takut dengan mereka (apabila tarik diri sertai Statut Rom), tetapi ini dipolitikkan. Ini bukan persoalan undang-undang, sebaliknya percubaan untuk memburuk-burukkan nama kerajaan dan nama saya. Saya tahu kenapa, sebab saya sentiasa tegas dengan pengubahan wang haram,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan, di Malaysia, mereka yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan tanpa mengambil kira siapa mereka.

“Kami tak peduli siapa mereka, kami akan ambil tindakan. Kami tak peduli sama ada mereka putera Raja atau papa kedana, itu pendirian kami. Tetapi, mereka berjaya menimbulkan kekeliruan dalam minda rakyat kononnya undang-undang ini menidakkan hak orang Melayu dan Raja-Raja,” katanya.

Berita Harian X