Sabtu, 6 April 2019 | 4:43pm
Ketua Whip Pakatan Harapan (PH), Datuk Johari Abdul. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Kerajaan dengar pandangan semua pihak - Ketua Whip PH

ALOR SETAR: Keputusan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) membuktikan kerajaan mendengar pandangan semua pihak termasuk pembangkang.

Ketua Whip Pakatan Harapan (PH), Datuk Johari Abdul, berkata tindakan Kabinet itu tidak dipengaruhi oleh desakan mana-mana pihak, sebaliknya keputusan terbaik untuk negara.

“Sebab itu kita ada Parlimen... banyak pihak bercakap mengenainya di Dewan Rakyat tidak kira dari pihak kerajaan atau pembangkang pada waktu itu.

“Sudah tentu kerajaan mendengar setiap pandangan yang disuarakan ahli Parlimen. Bukan semua pandangan pihak pembangkang tidak baik dan tidak boleh diterima.

“Kerajaan mendengar pandangan semua pihak... sudah tentu yang baik akan diterima... itu sebabnya kita ada Parlimen,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Kabinet memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi Raja menentang kerajaan serta beliau selaku Perdana Menteri.

Katanya, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun depan selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.

Perdana Menteri turut kecewa apabila ada pihak cuba mengheret institusi Raja untuk menentang kerajaan yang didakwa kononnya mahu menyerahkan kuasa kepada negara luar dan menghakis hak serta kekebalan Raja-Raja Melayu.

Berita Harian X