Sabtu, 6 April 2019 | 5:50pm
LIEW Vui Keong.

Pindaan Perlembagaan kembalikan status Sabah, Sarawak

SANDAKAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, rasional penggubalan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan adalah untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, selepas rang undang-undang dibacakan Khamis lalu di Dewan Rakyat, ramai mengkritik kerajaan dan beliau kerana tidak melihat secara keseluruhan pindaan Perlembagaan itu.

Katanya, rakyat perlu melihat semula MA63 yang menunjukkan asas pembentukan negara ketika itu untuk memahami secara keseluruhan pindaan dibuat.

“Dalam MA63, semua pihak terbabit bersetuju bahawa negeri dalam Persekutuan adalah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu, Sabah dan Sarawak serta Singapura.

“Namun, ini dimansuhkan pada 1966 kerana Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965. Jadi, pindaan pertama terhadap artikel ini pada 1966 dan artikel dijadikan undang-undang dalam Perlembagaan sehingga 1976,” katanya pada sidang media mengenai MA63 di Pejabat Perhubungan Parlimen Batu Sapi, di sini, hari ini.

Vui Keong yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi berkata, pindaan dibuat sekali lagi pada 1976 untuk meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai negeri seperti 11 negeri lain dan pindaan itu menggugurkan perkataan ‘the States of Malaya, namely’ dan ‘the Borneo States, namely’ daripada definisi asal negeri Persekutuan Malaysia.

Katanya, pindaan itu mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen dan mendapat sokongan ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak.

“Persoalannya kenapa ketika pindaan Perlembagaan dibuat pada 1976, ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak tidak membantah ketika Perlembagaan menurunkan status kedua-dua negeri ketika itu?

“Daripada laporan media mengatakan pemimpin dari Sarawak baru sedar mereka melakukan kesilapan kerana tidak membantah pindaan Perlembagaan pada 1976.

“Selepas 43 tahun, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah dengan kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) hanya kurang setahun mengambil langkah besar untuk meminda Perlembagaan ini kepada kedudukan pada 1963,” katanya.

Vui Keong berkata, intipati pindaan 2019 itu untuk mengembalikan semula kedudukan Sabah dan Sarawak yang jelas membuktikan Malaysia terdiri daripada tiga entiti iaitu 11 negeri, Sabah dan Sarawak.

“Ia adalah sesuatu yang jelas dan mudah difahami. Bagi mereka yang melihat pindaan 2019 tanpa sebarang pengetahuan asas dan pemikiran tajam, pasti melihat pindaan ini mempunyai signifikan terlalu kecil dan remeh,” katanya.

Vui Keong berkata, kerajaan juga berusaha mendapatkan persefahaman mengenai beberapa isu kecil termasuk persempadanan laut antara Sabah dan Sarawak yang membabitkan sumber mineral, hak milik tanah, perundangan dan beberapa lagi isu.

Katanya, tiga jawatankuasa ditubuhkan untuk melaksanakan perbincangan itu turut membabitkan Peguam Negara dan kedua-dua negeri dengan proses perbincangan berjalan baik untuk mencari pendekatan terbaik melaksanakan MA63.

Berita Harian X