Sabtu, 6 April 2019 | 8:33pm
Penasihat DAP, Lim Kit Siang. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Keputusan tarik diri daripada Statut Rom 'terpaksa' dilakukan

JOHOR BAHRU: Keputusan Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ‘terpaksa’ dilakukan disebabkan desakan pelbagai pihak yang kurang faham mengenai perkara itu dan campur tangan politik ‘toksik’ di negara ini, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, perkara seumpama itu bukan kali pertama berlaku dan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Kabinet adalah mengikut keadaan semasa yang memaksa serta bukan kemahuan mereka.

“Rakyat perlu lebih faham perkara ini. Kenapa dalam tempoh 11 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pemikiran rakyat di negara kita mudah diracun.

“Ia sehingga menyebabkan perkara yang tidak benar seperti ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) dan Statut Rom akan memberi ancaman kepada orang Melayu, orang Islam dan Institusi Raja-Raja, sedangkan ia tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Pertandingan Bioteknologi Antarabangsa Ke-5 di Universiti Teknologi Malaysia, di sini, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom ICC berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, sambil menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan statut itu membahayakan negara.

Keputusan untuk menarik diri daripada statut itu dicapai secara bersama dalam mesyuarat Kabinet, semalam. – BERNAMA

Berita Harian X