Ahad, 7 April 2019 | 1:59pm
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat. - NSTP/Aizuddin Saad

Defisit Lembaga Tabung Haji cecah RM10 bilion tahun lalu

BAYARAN hibah 1.25 peratus yang diumumkan Lembaga Tabung Haji (TH) kelmarin, mengundang pelbagai reaksi. Malah pelbagai kenyataan liar dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab yang enggan menerima penjelasan yang diberi.

Wartawan, Junita Mat Rasid dan Mohd Zaky Zainuddin, bersemuka dengan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, bagi mendapatkan ulasan lanjut berhubung pelbagai isu menyelubungi TH ketika ini.

S: Kenapa hibah hanya 1.25 peratus diberi?

J: Hibah yang mampu dibayar TH hanya 1.25 peratus. Saya hendak menerangkan, mengikut akta, TH dividen hanya boleh keluarkan dividen kalau memenuhi dua kriteria. Pertama, kena dapat untung dan kedua, aset mesti melebihi liabiliti.

Kami ambil tampuk TH pada Julai 2018, ketika itu Jabatan Audit Negara dalam laporannya berkata, aset TH adalah kurang dari liabiliti sebanyak RM4.1 bilion.

Maknanya aset TH kurang RM4.1 bilion setakat Disember 2017. Sepanjang 2018, banyak perkara berlaku dan jurang pasaran menyebabkan defisit aset berbanding liabiliti TH mencecah RM10 bilion. Dalam keadaan ini, kalau tanpa Syarikat Tujuan Khas (SPV), sudah tentu kita tidak mampu bayar dividen 2018. Kita berterima kasih kerana kerajaan menyokong pelan pemulihan TH yang dicadangkan iaitu dengan SPV. Dengan SPV, kita ambil kira semua aset yang kurang berdaya maju, sama ada hartanah atau saham yang disenaraikan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang mana kita sudah keluar peruntukan besar tetapi tiada keuntungan dibuat. Kita ambil semua aset RM9.6 bilion, kita terpaksa jual jauh lebih mahal untuk tutup ‘lubang’ yang RM10 bilion tadi.

Kami jual kepada SPV milik penuh kerajaan, jadi lebihan antara RM19 bilion dengan RM9 bilion itu ada RM10 bilion yang kita berjaya tutup lubang defisit. Selepas berjaya dilakukan, aset TH melebihi liabiliti RM1 bilion pada akhir tahun 2018. Dengan berjayanya pelan pemulihan, aset TH ada RM76 bilion manakala liabialiti RM75 bilion, lebihan adalah adalah RM1 bilion. Walaupun tahun sama, TH catat keuntungan berakhir 31 Disember 2018 ialah RM1.6 bilion tetapi lebihan liabiliti hanya RM1 bilion sahaja, jadi ikut Akta TH maksimum hibah kita boleh bagi ialah RM1 bilion sahaja. Jadi kalau kita ada deposit RM74 bilion, untuk beri hibah 1 peratus ini perlu RM740 juta. Jadi kita ada kelebihan RM1 bilon yang menjadikan maksimum kita boleh bagi hibah hanya 1.25 peratus sahaja supaya kita tidak langgar Akta TH.

S: Apa masalah TH sebenarnya?

J: Masalah sebenarnya, pelaburan- pelaburan yang tidak menguntungkan yang sudah jauh jatuh daripada harga belian, tiada peruntukan dibuat dalam akaun untung rugi TH. Sebagai contohnya, saham Felda FGV yang TH beli pada harga RM4.60 seunit ketika Julai 2018, harga sudah jatuh 78 sen dan sepatutnya dicatatkan bahawa ada kerugian tetapi dalam buku TH masih kekal harga RM4.60 seunit. Ini contoh, saham ini sahaja sepatutnya direkodkan kerugian RM1.1 bilion dalam akaun TH, tetapi tidak direkodkan. Begitu juga saham lain seperti Malakof juga sama. Ketika TH beli RM1.80 dan setakat Disember 2018, tinggal 80 sen iaitu kerugian RM500 juta tetapi ia tidak direkodkan dalam akaun.

Kalau ikut prinsipal akaun, biasanya kalau sudah susut nilai lebih 20 peratus, peruntukan mesti dibuat tetapi tidak dibuat. Ini tidak ikut peraturan. Pada tahun 2017, Jabatan Audit Negara dalam laporannya memaklumkan bahawa setiap tahun TH mengubah polisi rosot nilai ditukar. Untuk tahun 2017, rosot nilai ditukar dua kali bermula mula 75 peratus selepas ditukar 85 peratus dan tiga hari kemudian tukar kepada 95 peratus.

Maknanya kalau harga saham RM1 yang dibeli, kalau 11 sen pun tidak perlu buat rosot nilai, ini langkah tidak betul. Jadi kita buat langkah untuk buat dalam akaun untung rugi . Jadi sebenarnya kedudukan TH pada tahun 2017 yang kata untung RM3.4 bilion sebenarnya rugi RM1.4 bilion. Banyak lagi benda yang dilakukan tidak konsisten.

S: Jika TH tidak disusun semula, bagaimana keadaan TH?

J: Kalau tidak susun semula, tidak ada SPV, maknanya TH tidak akan berupaya untuk bayar dividen untuk beberapa tahun akan datang. Kalau tahun 2018 tak bayar dividen pun kita sudah takut, apatah lagi kalau tahun 2019 tak bayar dividen, saya rasa orang ramai akan berpusu-pusu pergi keluarkan duit. Jika itu berlaku, TH akan bangkrap. Itu yang kita paling takut, sebab itu kerajaan kata TH kena kerja kuat untuk tutup lubang sebelum Disember 2018 supaya kita boleh bayar hibah walaupun sikit, kena bayar dulu.

S: Apa jaminan kepada pendeposit supaya jangan keluarkan simpanan mereka di TH?

J: Jaminan saya ialah dari tahun 2018 ke atas, Insyaa-Allah keadaan sudah bertambah baik kerana kita berjaya memulihkan kedudukan kewangan TH. Aset yang ada pada TH adalah aset yang baik dan sudah berjaya dipulihkan. Aset yang tidak pulih, kita sudah hantar kepada kerajaan dan kita terima bon sahaja dari kerajaan. Apa yang kita ada di TH sekarang ini semuanya adalah aset baik.

Contohnya saham yang rugi 20 peratus kita sudah hantar kepada SPV, yang tinggal sama ada yang kita untung atau kalau rugi pun sedikit sahaja. Insya-Allah bila pasaran naik sikit pun kita sudah boleh untung. Hartanah pun yang ada adalah yang boleh menjana pendapatan. Yang tiada dan kurang hasil, kita sudah jual kepada SPV. Aset yang kita simpan di TH adalah yang boleh memberi pulangan yang baik.

S: Apakah manfaat yang SPV apabila hanya menerima aset tak baik daripada TH?

J: SPV adalah satu cara kerajaan menyelamatkan TH. Dalam keadaan kerajaan tidak berupaya memberi RM10 bilion ketika ini, SPV menjadi mekanisme membantu dan menyelamatkan TH tanpa membebankan kerajaan.

Bahasa ringkasnya, SPV adalah unit pemulihan khas. Dia tidak dapat apa-apa keuntungan pun. Ia sebagai bantuan jangka hayat. Ia pulihkan sahaja. Kerajaan pun sudah bagi jaminan. SPV kena maksimumkan nilai pemulihan dalam tempoh 10 tahun untuk mengurangkan beban kerajaan.

Maknanya kalau aset RM9.7 bilion tadi kalau berjaya dijadikan RM15 bilion, maknanya bebanan kerajaan akan berkurangan RM5 bilion. SPV tidak dapat apa-apa bahagian keuntungan. Sama macam Dana Harta dulu, cuma nama lain, konsepnya sama. Ramai kata SPV curi aset TH, pembangkang dan ramai kata SPV nak curi aset TH, ini putar belit politik. Sebenarnya SPV tidak menjana keuntungannya sendiri, sebaliknya dia kena lebih kerja keras untuk memulihkan aset yang diterima daripada TH.

S: CEO SPV yang bukan Islam menjadi isu dibangkitkan orang ramai. Apa kaitan?

J: Tiada kena mengena. Yang pertamanya, aset yang kita pindahkan kepada SPV itu bukan lagi hak TH. Ia sudah menjadi hak SPV iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang dimiliki 100 peratus oleh kerajaan dengan semua ahli lembaga pengarahnya Melayu.

Prokas hanya sementara sahaja untuk menguruskan harta SPV. Contohnya, saya ada satu rumah, saya hendak pergi ke luar negara selama setahun dan bagi orang lain uruskan sewa dan bayar bil. Itulah Prokas. Dia tidak boleh jual kerana rumah itu milik SPV. Prokas cuma uruskan sahaja. Prokas adalah pengurus sementara sahaja. Namun orang politikkan, kata aset TH diuruskan orang bukan Islam. Hakikatnya, tidak kisah siapa pun uruskan sebab aset itu bukan lagi milik TH sebab kita sudah jual, jadi ia tiada kena mengena lagi.

S: Boleh Datuk Seri terangkan keadaan TH sebelum ini seolah-olah seperti kata skim ala pak man telo?

J: Bila aset TH kurang dari liabiliti. Contohnya aset kita ada RM69 bilion, liabiliti iaitu duit pendeposit RM75 bilion. Contohnya kalau kita hendak bayar hibah RM1 bilion lagi, datang dari mana duit itu? Kita terpaksa ambil duit pendeposit tadi untuk bayar. Jadi macam skim pak man telo sebab duit orang ramai, gali lubang untuk tutup lubang. Siapa yang bayar? pendeposit baru yang bayar, ambil dari situ untuk bayar.

S: Sebelum ini hibah dibayar dengan tinggi, adakah ia menjadi usaha atau cubaan menarik lebih ramai pendeposit, adakah itu Datuk Seri maksudkan gali lubang untuk tutup lubang?

J: Ya betul, sebab kalau kita lihat sekarang yang simpan duit, sebilangan kecil menyimpan untuk pergi Haji, yang banyak adalah pelabur besar kerana dengan pulangan sehingga lima atau enam peratus setahun, tak perlu bayar cukai pendapatan, patuh syariah, memang lumayan, deposit ini dijamin penuh kerajaan. Kalau simpan di bank, hanya jamin setakat RM250,000 oleh PIDM (Perbadanan Insurans Deposit Malaysia).

Jadi kalau pergi ke TH, dapat lima atau enam peratus setahun, lebih besar keuntungan daripada letak di bank, dijamin kerajaan, patuh syariah, tak payah bayar cukai pendapatan, memang pelaburan terbaik sebab itu kalau tengok statistik TH, kita mempunyai 9.3 juta pendeposit dengan deposit ada RM74 bilion.

Separuh iaitu RM37 bilion milik 1.3 peratus pendeposit sahaja. Makna orang kaya, kenapa menarik orang simpan di TH? Sebab TH bagi keuntungan banyak. Kalau kita letak wang di bank kalau letak setahun pun, berapa dapat? tiga atau 3.5 peratus dan kena simpan selama setahun baru dapat. Kalau keluar duit sebelum tempoh matang setahun, tidak boleh dapat dividen. Sedangkan di TH masukkan duit hari ini RM10 juta, esok keluar RM10 juta pun boleh. Sudah boleh buat akaun semasa.

Jadi ada semua yang terbaik di TH menyebabkan ramai suka TH. Maknanya orang yang hendak pergi haji simpan duit tak sampai separuh daripada jumlah keseluruhan pendeposit, yang lain pelabur sahaja. Simpan duit dalam TH bukan untuk pergi haji tetapi membuat pelaburan. Bila TH ubah dividen, kalau tidak bagi dividen macam ini, dia akan keluarkan duit, jadi kita terpaksa buat macam ini. Kita kena selamatkan TH dan betulkan ini.

S: Maksudnya dalam bayaran hibah sebelum ini, bayar guna duit pendeposit? sebab itu kadarnya tinggi?

J: Bila dah aset kurang dari liabiliti dan bayar juga hibah, maknanya ambil dari pendeposit.

S: Dari mana datangnya subsidi untuk jemaah menunaikan haji, TH atau kerajaan?

J: Istilah yang lebih tepat adalah kos tanggungan haji, di mana ia disalurkan TH, bukan peruntukan daripada kerajaan. Tanggungan ini meningkat setiap tahun disebabkan kos menunaikan haji bertambah.

Bagi tahun 2019, kos menunaikan haji setiap bakal haji berjumlah 30,200 orang ini adalah RM22,920 tetapi kita masih mengekalkan kos RM9,980 (sejak 2009) dengan RM12,940 ditanggung oleh TH. Kos tanggungan haji yang ditanggung oleh TH tahun ini adalah sekitar RM400 juta.

Tahun lalu, kos tanggungan haji oleh TH adalah RM315.9 juta dan 2017 (RM213.5 juta). Ia jelas menunjukkan peningkatan saban tahun dari segi tanggungan yang biasa disebut sebagai subsidi haji. Kos tanggungan ini yang disalurkan ini datangnya daripada unjuran keuntungan yang bakal dicatatkan oleh TH bagi tahun ini selepas proses pemulihan memandangkan kami sudah mengeluarkan aset tidak menguntungkan dengan sukuk bernilai RM19.9 bilion.

S: Apakah jaminan kos tanggungan (subsidi) untuk tahun-tahun akan datang?

J: Kos tanggungan ini ada yang perlu dibincangkan dengan kerajaan. Untuk tahun 2019, kita masih berupaya. Bagi tahun-tahun akan datang, kita akan melihat kemampuan. Cuma sama ada kos haji akan meningkat, itu perlu dilihat semula. Jadi kita akan melihatnya secara menyeluruh. Contoh, bagi tahun 2020, kos haji mencecah RM25,000 misalnya, adakah kita perlu subsidi sepenuhnya. Mungkin ia akan dikurangkan. Kos haji tinggi adalah penerbangan dan penginapan yang merangkumi 65 peratus daripada keseluruhan biaya dan ia di luar kemampuan TH.

S: Bagaimana dengan peneman kepada bakal haji yang sudah tidak berdaya?

J: Sebenarnya, kita memberi keutamaan kepada mereka, selain daripada tarikh pendaftaran, maknanya siapa yang daftar lagi awal, lagi cepat boleh menunaikan haji. Kriteria lain adalah umur seseorang itu. Maknanya kalau umur lebih 75 tahun kita akan beri keutamaan dalam rayuan dan bila mereka berumur ini dapat, kita juga akan memberi keutamaan kepada peneman. Bermakna, peneman juga layak mendapat manfaat kos tanggungan haji (subsidi) jika pertama kali menunaikan haji.

S: Adakah TH menetapkan peraturan baharu untuk bakal haji?

J: Dulu, mereka yang sudah menunaikan haji boleh mendaftar semula selepas lima tahun. Namun bermula tahun ini, mereka tidak lagi berkelayakan untuk mendaftar semula dan memasuki senarai menunggu. Kita ada seramai 3.2 juta dalam senarai menunggu. Kalau mendaftar hari ini, kena tunggu sehingga 114 tahun untuk sampai giliran menunaikan haji.

S: Ada yang mengatakan langkah memindahkan aset bermasalah ini sebagai perakaunan kreatif untuk mencantikkan lembaran imbangan. Apa komen Datuk Seri?

J: SPV adalah satu mekanisme untuk menyelamatkan TH. Ia mudah saja. Kita menjual aset yang kurang berdaya maju bernilai RM9.7 bilion kepada SPV pada harga RM19.9 bilion. Jika kita tawarkan kepada entiti lain, siapa yang akan beli. Justeru, kerajaan terpaksa (jual pada SPV) untuk menyelamatkan TH.

Jadi ini bukannya perakaunan kreatif, cuma persoalan lebih penting adalah bagaimana SPV ini mampu menebus semula sukuk RM19.9 bilion meskipun nilai aset adalah RM9.7 bilion saja. Aset adalah RM9.7 bilion, SPV beli dengan harga RM19.9 bilion. Wujud ‘lubang’ berjumlah sekitar RM10 bilion. Oleh itu, persoalan yang perlu dikemukakan berbanding ‘creative accounting’ adalah bagaimana SPV mencari duit untuk menebus semula sukuk tadi.

Kerajaan sudah mengumumkan perbelanjaan pembangunan kepada SPV setiap tahun berjumlah RM1.7 bilion untuk membantu menebus sukuk apabila sampai tarikh matangnya. Secara keseluruhannya, ia akan membabitkan dana kerajaan sebanyak RM17 bilion untuk tempoh 10 tahun (tempoh matang sukuk), campur dengan nilai aset yang dipindahkan dan itulah sumber pembayaran balik SPV untuk menebus semula sukuk yang diterbitkan yang dipegang oleh TH.

Maknanya, sukuk yang dipegang TH selamat. Insya Allah, 10 tahun kemudian, kita akan tukar semula sukuk berkenaan kepada tunai. Cuma dari segi fleksibiliti ketika ini kita buat adalah aset yang dipindahkan kepada SPV tadi, jika mereka ingin jual balik sebahagian aset dalam tempoh tiga tahun kemudian, TH akan menjadi keutamaan. Jika TH setuju, kita akan membuat pembayaran dengan sukuk yang sudah diterbitkan dengan nilai yang sama pulangkan semula kepada SPV.

Jadi, TH dapat balik aset yang dipindahkan dan SPV juga dapat mengurangkan bebanan untuk menebus semula sukuk yang dipegang oleh TH. Contoh, dua tahun selepas pemindahan, nilai sebahagian aset bernilai RM3 bilion dan SPV ingin menjual kepada TH dan dipersetujui, SPV akan pulangkan semula aset tadi dan TH akan pulangkan sukuk bernilai RM3 bilion. Penebusan dengan cara pertukaran.

Jika TH tidak berminat, SPV boleh menjualnya kepada entiti lain. Walaupun begitu, SPV tetap perlu menebus sukuk RM19.9 bilion yang diterbitkan.

S: Apakah yang boleh kita jangkakan dengan kadar hibah untuk tahun ini (2019). Adakah ia berlegar sekitar tiga peratus?

J: Saya yakin tahun ini kedudukan kewangan TH jauh lebih baik dan kita dapat memberikan hibah yang kompetitif. Saya yakin ia masih dalam kemampuan kita memberikan kadar hibah, selaras kadar diberikan bank deposit.

S: Apakah perancangan TH untuk membawa masuk pendeposit baharu?

J: Terdapat dua perancangan TH. Pertama, saya ingin meyakinkan orang ramai atau pendeposit sedia ada jangan mengeluarkan deposit kerana kesusahan yang dialami sebelum ini sudah dapat diselesaikan kerana keadaan kewangan TH akan bertambah baik dan kita jangka dapat memberi hibah yang sepatutnya iaitu lebih tinggi daripada 1.25 peratus. Kedua, saya ingin mengesyorkan kepada sesiapa yang ingin menunaikan haji dan belum memiliki akaun dengan TH, mereka boleh berbuat demikian kerana Insya-Allah, TH kini berada dalam landasan yang baik untuk menyempurnakan tugas.

TH ada dua tugas utama iaitu menyempurnakan orang yang nak menunaikan haji dan menjaga jemaah yang menunaikan haji. Kedua, adalah mengesyorkan pelaburan kepada mereka dan jangan menjangkakan keuntungan yang luar biasa sebab TH bukannya pengurus dana berisiko sebab dasar kita adalah membantu rakyat Malaysia menunaikan haji. Yang kedua barulah pengurusan dana. Jadi janganlah disamakan TH dengan pengurus dana lain.

S: Boleh komen persoalan dikemukakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM)?

J: Persoalan pertama mengenai agihan hibah berjumlah RM913 juta, sedangkan keuntungan tahun 2018 adalah RM2 bilion. Jawapan saya mudah, hibah TH diberi berlandaskan dua kriteria iaitu mesti mencatat keuntungan dan aset mestilah melebihi liabiliti. Walaupun keuntungan kita RM2 bilion tetapi nilai aset kita melebihi RM1 bilion berbanding liabiliti. Jadi kita perlu mengguna pakai RM1 bilion sebagai maksimum untuk membayar hibah. Jadi dengan hibah 2018, 1.25 peratus merangkumi RM913 juta. Jadi itu sajalah yang mampu kita agihkan.

Gambaran lebih jelas ialah aset TH pada 2018 adalah RM76.5 bilion, manakala liabiliti adalah RM77.5 bilion, berlaku defisit RM1 bilion. Oleh demikian, kita menggunakan keuntungan RM2 bilion untuk menampung liabiliti dan bakinya diagihkan sebagai hibah.

Persoalan kedua adalah kemanakah baki keuntungan RM5.8 bilion hasil pemindahan aset kepada SPV. Jawapan saya ialah nilai aset yang dipindahkan kepada SPV adalah RM9.7 bilion tetapi dijual pada RM19.9 bilion dengan ‘keuntungan’ adalah sekitar RM10 bilion. Ia sebenarnya bukanlah keuntungan sebab aset yang dipindahkan bukannya pada nilai pasaran sebaliknya harga kos TH. Pemindahan aset sebenarnya pada nilai kos TH dan tidak menjana sebarang keuntungan daripada penjualan itu.

Persoalan ketiga mengenai jaminan SPV untuk menebus semula sukuk pada nilai sepatutnya kerana tiada jaminan daripada kerajaan. Saya melihat persoalan Asyraf Wajdi merangkumi aset yang dipindahkan TH kepada SPV hanya bernilai RM9.7 bilion sedangkan ‘balasan’ adalah RM19.9 bilion dan bagaimana SPV nak bayar balik RM19.9 bilion sedangkan aset hanya RM9.7 bilion.

Jawapannya, ada peruntukan berjumlah RM17 bilion sepanjang 10 tahun yang ada saya sebutkan tadi. Setiap tahun kerajaan akan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan RM1.7 bilion. RM17 bilion campur dengan aset RM9.7 bilion menjadi RM26.7 bilion.

Hakikatnya, aset yang dipindahkan tadi (bernilai RM9.7 bilion) akan meningkatkan setiap tahun. Untuk pengetahuan semua, aset yang dipindahkan kepada SPV pada Disember tahun lalu yang bernilai RM9.7 bilion, sudah bertambah nilainya sebanyak RM800 juta setakat Mac tahun ini.

Kita harapkan aset RM9.7 bilion tadi akan meningkat kepada RM12 bilion hingga RM13 bilion untuk tempoh 10 tahun akan datang. Jadi kita yakin SPV tidak akan berdepan masalah untuk menebus semula sukuk berkenaan.

Persoalan keempat adalah, penyelewengan jika benar berlaku tetapi belum ada pendakwaan, sebaliknya kerajaan lebih gemar mencetuskan sentimen untuk menutup kelemahan kerajaan.

Saya tetap akan jawab meskipun ia menjurus kepada politik. Kita sudah membuat empat laporan polis membabitkan Yayasan TH, TH Indoplantation berkaitan penjualan aset di Riau, Indonesia; Pembelian ladang di Kalimantan hasil usaha sama dengan FGV; dan berkaitan akaun. Jadi kami menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat. Kita tidak boleh campur tangan. Biar siasatan menentukan salah atau tidak.

Persoalan kelima pula membabitkan Jawatankuasa Pelaburan TH di mana beliau merujuk kepada aktiviti pelaburan TH digantung sejak tahun lalu.

Jawapannya, tidak betul. Kita sudah memansuhkan Panel Pelaburan kerana apa yang berlaku kepada TH sehingga ke hari ini dilihat tidak berkesan. Kalau ikutkan Akta Tabung Haji, kita tidak memerlukan Panel Pelaburan.

Kita sudah mansuhkan kerana dalam kalangan Ahli Lembaga Pengarah TH yang baru ketika ini memiliki kepakaran untuk menimbang semua keputusan pelaburan yang akan dilakukan. Dulu lain, Lembaga Pengarah dalam kalangan ahli politik, sebab itu perlukan Panel Pelaburan.

Persoalan keenam membabitkan isu ladang di Riau yang dibangkitkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Hasanuddin Yunus. Sebenarnya, isu ini menjadi antara laporan polis yang dibuat TH. Beliau yang mendakwa, sebab itu TH buat laporan polis.

Berita Harian X