Ahad, 7 April 2019 | 2:03pm

Tiada lagi haji kali kedua

KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) menetapkan pendeposit yang sudah menunaikan haji, tidak lagi dibenar mendaftar semula dengan institusi pengurusan dana haji itu untuk mengerjakan ibadat berkenaan buat kali kedua.

TH juga memberi jaminan subsidi haji yang diperuntukkan sejak sekian lama akan dikekalkan bagi tahun ini walaupun tanggungan berkenaan sudah mencecah RM400 juta.

Mengulas lanjut perkembangan itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, berkata amalan selama ini ialah pendeposit yang sudah menunaikan haji, boleh mendaftar semula selepas lima tahun untuk senarai menunggu.

“Namun bermula tahun ini, mereka tidak lagi boleh berbuat demikian bagi memberi peluang kepada orang lain pula. Sehingga kini, seramai 3.2 juta orang berada dalam senarai menunggu untuk menunaikan haji, jadi kita harap orang ramai faham keadaan ini.

“Kalau mendaftar hari ini, individu perlu menunggu selama 114 tahun untuk mendapat giliran menunaikan haji.

“Berilah peluang kepada mereka yang belum menunaikan haji,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH, semalam.

Zukri mengakui dengan peraturan baharu itu, TH bersedia melihat pendeposit yang sudah menunaikan haji mengeluarkan simpanan mereka, namun beliau tetap berharap semua pihak memahami situasi dihadapi institusi berkenaan.

Subsidi tahun ini kekal

“Saya ingin mengesyorkan kepada sesiapa yang ingin menunaikan haji dan belum memiliki akaun dengan TH, mereka boleh berbuat demikian. Insya-Allah, TH berada dalam landasan yang baik untuk menyempurnakan tugas,” katanya.

Mengenai subsidi haji, beliau berkata, walaupun tanggungjawab berkenaan yang lebih tepat dirujuk sebagai kos tanggungan haji meningkat setiap tahun, TH memberi jaminan subsidi untuk tahun ini dikekalkan.

Bagaimanapun, katanya, subsidi untuk tahun-tahun berikutnya akan dibincangkan dengan kerajaan, sama ada jumlahnya akan dikurangkan atau tidak berikutan kos pengurusan ibadat itu semakin meningkat.

“Bagi 2019, kos setiap jemaah seramai 30,200 orang ini adalah RM22,920 seorang. Kita masih mengekalkan kos haji RM9,980 (sejak 2009) dengan RM12,940 ditanggung oleh TH. Tanggungan ini ada perlu dibincangkan dengan kerajaan.

“Untuk tahun ini, kita masih berupaya (subsidi), namun bagi tahun-tahun akan datang, kita akan melihat kemampuan. Cuma sama ada kos haji akan meningkat itu perlu dilihat semula.

“Kita akan melihatnya secara menyeluruh. Contoh, bagi 2020, kos haji mungkin RM25,000, adakah kita perlu subsidi sepenuhnya. Kos haji semakin meningkat menyaksikan kemungkinan subsidi dikurangkan,” katanya.

Zukri berkata, kenaikan berkenaan disebabkan kos penerbangan dan penginapan yang merangkumi 65 peratus daripada keseluruhan kos haji yang meningkat setiap tahun sehingga di luar kemampuan TH.

“Kos tanggungan haji ditanggung TH tahun ini kira-kira RM400 juta. Tahun lalu, kosnya RM315.9 juta dan pada 2017 pula RM213.5 juta. Ia jelas menunjukkan peningkatan setiap tahun,” katanya.

Ikuti wawancara bersama Zukri di https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/549862/defisit-lembag...

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X