Ahad, 7 April 2019 | 8:29pm
PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

TH nafi Cawangan Bachok kehabisan wang

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan laporan berita yang tular melalui media sosial bahawa cawangannya di Bachok, Kelantan, kehabisan wang tunai.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat, berkata laporan berita itu adalah fitnah semata-mata dan operasi TH berjalan seperti biasa dengan tiada trend pengeluaran wang tunai luar biasa dilaporkan.

Seorang wanita dalam laman Facebooknya (FB) mendakwa bahawa Tabung Haji cawangan Bachok kehabisan wang tunai dan orang ramai penuh sesak membuat pengeluaran deposit.

“Tiada pengeluaran panik dilaporkan di semua cawangan dan keadaan adalah seperti biasa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Zukri meminta pendeposit supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin atau berita palsu untuk mengelak tercetus keadaan panik.

Katanya, TH akan meminta pihak berkuasa supaya menyiasat pemegang akaun FB berkenaan selain mengambil tindakan undang-undang sewajarnya di atas perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu. - BERNAMA

Berita Harian X