Selasa, 9 April 2019 | 11:43am

Pindaan Perlembagaan, Kertas Putih FELDA dalam aturan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini bakal membahaskan beberapa rang undang-undang (RUU) penting merangkumi pindaan Perlembagaan, Kertas Putih FELDA dan Rang Undang-undang Levi Pelepasan yang melalui bacaan kali pertama semalam.

Berdasarkan aturan mesyuarat dan usul Dewan Rakyat, RUU Levi Pelepasan adalah di peringkat bacaan kali kedua untuk dibahaskan ahli Parlimen.

Turut tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat adalah pembentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada perkara kedua manakala Kertas Putih mengenai Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) berada dalam perkara ketiga.

RUU Levi Pelepasan bertujuan membolehkan kerajaan melaksanakan peraturan baharu untuk mengutip bayaran levi daripada seseorang yang mahu melakukan perjalanan ke luar negara.

Pembentangan RUU Perlembagaan berkaitan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan adalah bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung.

Pindaan itu menumpukan aspek menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung seperti kedudukan sebelum 1976.

RUU akan dibahas sebelum diluluskan jika mendapat undian sokongan dua pertiga ahli dewan atau minimum 148 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Ini bakal menjadi ujian politik besar buat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang hari ini mendapat sokongan 139 ahli Dewan Rakyat, kurang sembilan daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, semalam dilaporkan berkata istilah ‘Borneo’ akan dimasukkan dalam usul pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan supaya selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Bagi perkara ketiga dalam aturan mesyuarat dan usul, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencadangkan pembentangan Kertas Putih bertajuk Ke Arah Kelestarian FELDA .

Kertas Putih itu antara lain mengemukakan usaha kerajaan melaksanakan pelan pemulihan jangka pendek, sederhana dan panjang ke arah kelestarian FELDA seperti dibentangkan dalam Kertas Perintah Bil 6 Tahun 2019.

Dalam cadangan itu, dinyatakan Kertas Putih itu dibuat kerana Dewan Rakyat menyedari perlu ada penjelasan mengenai isu dihadapi FELDA dan pelan pemulihan bagi mengembalikan keyakinan rakyat, selain memastikan kebajikan peneroka terus dibela oleh kerajaan.

Dalam masa sama, Dewan Rakyat mengambil maklum cabaran dan pemasalahan peneroka, hasil penemuan audit forensik ke atas lapan pelaburan yang dilaksanakan FELDA dan anak syarikat serta prestasi kewangan FELDA.

Ia termasuk implikasi perjanjian pajakan tanah, pinjaman kepada peneroka dan pulangan pelaburan.

Berita Harian X