Selasa, 9 April 2019 | 1:38pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Saddam Yusoff

Empat ahli akademik perlu beri penjelasan - Anwar

KUALA LUMPUR: Empat ahli akademik yang didakwa menyerahkan rumusan eksekutif berat sebelah bagi meyakinkan Majlis Raja-Raja menolak Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), digesa untuk tampil memberi penjelasan mengenainya.

Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penjelasan itu perlu dibuat secara berhemah dalam satu wacana yang sihat.

“Biar ahli akademik itu jawab. Biarlah ia diselesaikan secara perbincangan yang baik.

“Mereka (perlu) ada wacana yang sihat (untuk menjelaskan dakwaan). Ada soal jawab dan penjelasan,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rumusan eksekutif mengenai Statut Rom oleh empat ahli kademik yang didakwa berat sebelah dan tidak menggambarkan kejujuran ahli akademik.

Ahad lalu, sembilan aktivis pelajar mendedahkan rumusan eksekutif kertas kerja oleh empat ahli akademik yang didakwa berat sebelah dan digunakan untuk meyakinkan Majlis Raja-Raja agar menolak Statut Rom ICC.

Kertas kerja itu didakwa menjadi punca kepada keputusan kerajaan menarik balik ratifikasi Statut Rom ICC itu.

Empat ahli akademik dinamakan itu ialah pensyarah undang-undang Universiti Teknoogi MARA, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad; pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz dan dua pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Fareed Mohd Hassan serta Hisham Hanapi.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan, Kabinet memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom ICC kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu mengheret institusi Raja menentang kerajaan.

Berita Harian X