Selasa, 9 April 2019 | 2:12pm
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Nur Adibah Ahmd Izam

Pembangkang tolak pindaan jika hanya sentuh status Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Pembangkang akan menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 jika usul itu hanya menyentuh mengenai status Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka sedia mengubah pendirian itu jika RUU berkenaan merangkumi perkara lebih luas membabitkan keperluan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kita perlu meneliti apa yang akan dibentangkan nanti, sebelum keputusan dibuat (untuk menyokong atau tidak).

“Kami percaya perkara ini perlu dipertimbang semua pembuat dasar dari Sabah dan Sarawak untuk lebih memahami aspirasi berkaitan (Perjanjian Malaysia 1963).

“Jika hanya menyentuh mengenai status kedua-dua negeri itu, ia bererti pindaan tidak holistik dan kami akan menolaknya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dijangka membentangkan bacaan kedua RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 petang ini, bagi Perkara 1(2) untuk mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung.

Pindaan itu menumpukan aspek menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung seperti kedudukan sebelum pindaan pada tahun 1976.

RUU itu akan dibahas sebelum diluluskan jika mendapat undian sokongan dua pertiga ahli Dewan atau minimum 148 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, kerajaan memerlukan sokongan Ahli Parlimen pembangkang memandangkan mereka hanya memiliki 139 anggota dalam Dewan Rakyat, kurang sembilan daripada majoriti dua pertiga diperlukan untuk sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, semalam, dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memasukkan istilah ‘Borneo’ dan beberapa perkara lain dalam usul pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan bagi mendapatkan sokongan pembangkang.

Pada pembentangan RUU minggu lalu, beberapa ahli Parlimen Sabah dan Sarawak meminta ia ditangguhkan kerana memerlukan kajian menyeluruh membabitkan pihak berkepentingan, selain ia bukannya mendesak pada masa ini.

Berita Harian X