Selasa, 9 April 2019 | 3:05pm
BEKAS Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - NSTP/Aziah Azmee

Tak wajar ambil tindakan pada empat ahli akademik

KUALA LUMPUR: Empat ahli akademik yang didakwa menyerahkan rumusan eksekutif mengenai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kepada Majlis Raja-Raja, tidak wajar dikenakan tindakan.

Ahli Parlimen Besut yang juga bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata mereka hanya menyatakan pandangan akademik masing-masing dan ia tidak sewajarnya dilihat sebagai satu kesalahan.

“Mereka menyuarakan pandangan akademik, sepatutnya tindakan itu diberi penghargaan. Mereka perlu diberi ruang menyuarakan pendapat.

“Jika ahli akademik yang mengeluarkan pandangan kritikal diambil tindakan, ia tidak selaras dengan autonomi dan kebebasan yang diberikan kepada ahli akademik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas rumusan eksekutif mengenai Statut Rom ICC oleh empat ahli akademik yang didakwa berat sebelah dan tidak menggambarkan kejujuran ahli akademik, yang diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, kedudukan empat ahli akademik berkenaan akan dibincangkan di peringkat kementerian.

Bagaimanapun, dalam laporan berasingan, Nie Ching menafikan perkara itu dan menegaskan kenyataannya disalah lapor, kerana beliau sebenarnya merujuk kepada kumpulan aktivis pelajar yang mendedahkan dokumen itu.

Ahad lalu, sembilan aktivis pelajar mendedahkan rumusan eksekutif kertas kerja itu yang dipercayai digunakan untuk meyakinkan Majlis Raja-Raja agar menolak Statut Rom ICC.

Kertas kerja itu didakwa menjadi punca kepada keputusan kerajaan menarik balik ratifikasi Statut Rom ICC itu.

Empat ahli akademik dinamakan ialah Pensyarah undang-undang dan Perlembagaan, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad; Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz; Dr Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

BH cuba menghubungi Dr Rahmat bagi mendapatkan penjelasannya semalam, namun beliau enggan mengulas mengenai kertas kerja dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja itu, manakala Shamrahayu pula gagal dihubungi.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan, Kabinet memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom ICC kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu mengheret institusi Raja menentang kerajaan.

Berita Harian X