Selasa, 9 April 2019 | 3:30pm
- Foto Hiasan

Penyokong kerajaan, pembangkang minta RUU Levi Pelepasan ditangguhkan

KUALA LUMPUR: Penyokong kerajaan dan pembangkang mahu kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang Levi Pelepasan 2019, iaitu cukai yang akan dikenakan kepada mereka yang hendak ke luar negara.

Kalangan wakil rakyat berpendapat cukai itu membebankan rakyat terutama penduduk yang tinggal di negeri yang bersempadan dengan negara jiran.

Penyokong kerajaan, Hasan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), berkata beliau melihat kumpulan pertama yang akan terkesan dengan pelaksanaan levi pelepasan adalah jemaah haji yang akan menunaikan haji mulai Julai dan Ogos ini.

Justeru, katanya, jika RUU itu diteruskan, beliau memohon kerajaan memberi pengecualian kepada kumpulan berkenaan kerana mereka mahu menunaikan ibadat.

“Pengecualian juga perlu diberikan kepada mana-mana orang bukan Islam yang mahu melakukan ibadat di luar negara kerana mengikut Perlembagaan rakyat perlu diberikan layanan sama rata.

“Saya ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) akan menyokong RUU jika pengecualian ini diberikan. Sebelum merdeka dan selepas merdeka, umat Islam negara ini tidak pernah diminta membayar cukai (levi) seumpama ini.

“Mengapa tiba-tiba sekarang mahu dilaksanakan perkara ini, …saya malu. Jadi, menteri (Kewangan) fikir baik-baik mengenai nasib rakyat di luar sana,” katanya yang mendapat sokongan dan sorakan daripada Ahli Parlimen pembangkang.

Turut mencelah menyokong perbahasan Hasan, Datuk Dr Shamsul Anwar Nasarah (BN-Lenggong) dan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).

“Inilah wakil rakyat yang kita mahu,” kata Bung Moktar.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, jangan jadikan levi pelepasan ini sebagai hadiah kerajaan kepada rakyat selepas setahun mentadbir negara.

“Ini sangat memalukan saya. Saya faham kerajaan kini memerlukan hasil dan sumber kewangan yang baharu tetapi bukan dengan cara ini sebaliknya bagi pengecualian kepada jemaah haji dan umrah.

“Jangan kata Tabung Haji yang akan menanggung levi pelepasan ini untuk orang miskin dan jemaah yang kaya buat bayaran sendiri.

“Jangan bebankan Tabung Haji yang kini menghadapi masalah kewangan. Jika Tabung Haji kena membayar levi pelepasan untuk orang miskin saja maka ini bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Negara mengenai hak sama rata rakyat,” katanya.

Seorang lagi penyokong kerajaan, Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mahu kerajaan meneliti semula pelaksanaan levi pelepasan kerana dikhuatiri membebankan rakyat terutama yang ada banyak urusan atau berulang alik dalam urusan seharian di sempadan negara seperti ke Thailand.

Katanya, beliau juga khuatir pengenalan levi itu menjejaskan sektor pelancongan negara kerana wujud penambahan kos.

“Levi pelepasan ini juga nampaknya bercanggah dengan Perjanjian Pelancongan ASEAN pada 2002 yang mana dipersetujui cukai atau levi pelepasan perlu dikurang dan dihapuskan secara berperingkat-peringkat.

“Saya faham kerajaan perlukan sumber kewangan dan hasil tetapi adakah hasil ini akan dikembalikan semula kepada sektor pelancongan dan pembangunan infrastruktur,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Ahmad Maslan mahu kerajaan menangguhkan cadangan pelaksanaan levi itu yang akan membebankan rakyat kerana ia adalah pengenalan cukai baharu selepas pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Ini satu lagi cukai baharu, semalam kita dikenakan cukai digital, hari ini satu lagi cukai. Disebut sebagai levi, orang kampung mungkin tidak tahu tetapi levi itu cukai. Satu lagi cukai untuk rakyat,” katanya.

Justeru, beliau meminta levi pelepasan itu dikecualikan untuk perjalanan ke negara di Asia Tenggara.

“Jika tidak berpuluh ribu orang Malaysia ke Singapura untuk bekerja akan dikenakan cukai ini. Satu lagi kecualikan kanak-kanak, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), pelajar Malaysia yang belajar ke luar negara dan jemaah haji dan umrah,” katanya.

Bung Moktar yang mencelah perbahasan Ahmad berkata, kerajaan perlu tangguhkan levi itu kerana rakyat terbeban kerana terpaksa keluarkan duit.

Berita Harian X