Selasa, 9 April 2019 | 4:38pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Empat ahli akademik perlu beri penjelasan - Anwar

KUALA LUMPUR: Empat ahli akademik yang didakwa menyerahkan rumusan eksekutif berat sebelah bagi meyakinkan Majlis Raja-Raja menolak Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), digesa tampil memberi penjelasan mengenainya.

Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penjelasan itu perlu dibuat secara berhemah dalam satu wacana yang sihat.

“Biar ahli akademik itu jawab. Biarlah ia diselesaikan secara perbincangan yang baik. Mereka (perlu) ada wacana yang sihat (untuk menjelaskan dakwaan), ada soal jawab dan penjelasan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rumusan eksekutif mengenai Statut Rom oleh empat ahli akademik yang didakwa berat sebelah dan tidak menggambarkan kejujuran ahli akademik.

Ahad lalu, sembilan aktivis pelajar mendedahkan rumusan eksekutif kertas kerja oleh empat ahli akademik yang didakwa berat sebelah dan digunakan untuk meyakinkan Majlis Raja-Raja supaya menolak Statut Rom ICC.

Kertas kerja itu didakwa menjadi punca kepada keputusan kerajaan menarik balik ratifikasi Statut Rom ICC itu.

Empat ahli akademik dinamakan itu ialah pensyarah undang-undang dan Perlembagaan, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad; Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz; Dr Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

BH cuba menghubungi Rahmat bagi mendapatkan penjelasannya semalam, namun beliau enggan mengulas mengenai kertas kerja dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja itu, manakala Shamrahayu pula gagal dihubungi.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan, Kabinet memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom ICC kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu mengheret institusi raja menentang kerajaan.

Berita Harian X