Selasa, 9 April 2019 | 6:32pm
LIM Guan Eng

Haji, umrah kali pertama dikecualikan levi pelepasan udara

KUALA LUMPUR: Jemaah haji dan umrah kali pertama dikecualikan daripada membayar levi pelepasan udara ke luar negara, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, jemaah haji tahun ini juga akan dikecualikan membayar levi pelepasan udara itu.

Katanya, pengecualian levi itu juga turut terpakai bagi penganut agama lain yang kali pertama mengerjakan ibadat mengikut agama masing-masing.

"Haji kalau pergi satu kali dan umrah satu kali mereka tidak kena (levi pelepasan udara). Kalau lebih daripada satu kali, itu lain (dikenakan levi)," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Anugerah SME CGC kali ke-24 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada jemaah haji dan umrah dikenakan levi pelepasan udara ke luar negara yang akan berkuatkuasa 1 Jun 2019.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan bercadang mengenakan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara, iaitu RM20 ke negara ASEAN dan RM40 ke negara lain dalam usaha menggalak pembangunan pelancongan domestik.

Sementara itu, mengulas sama ada FELDA akan dibantu, Guan Eng berkata, kerajaan sentiasa menyokong FELDA dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau berkata, kerajaan terdahulu membuat perkara salah yang menyebabkan kedua-dua institusi itu berdepan kerugian besar.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis Anugerah SME CGC ke-24 itu, Guan Eng juga menggalakkan syarikat kecil dan sederhana (PKS) tempatan mengambil kesempatan terhadap ruang yang ada berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk membantu PKS dalam mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Berita Harian X