Selasa, 9 April 2019 | 10:36pm
DR MAHATHIR membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan Artikal 1(2) pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Bernama

6 jam bahas pinda Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Seramai 46 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Pada awalnya dicadangkan hanya 36 wakil rakyat dibenarkan berbahas namun jumlahnya meningkat apabila sesi perbahasan berlangsung hampir enam jam selepas RUU itu dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, jam 2.30 petang tadi.

RUU itu adalah pindaan Perlembagaan pertama yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak mengambil alih pentadbiran negara.

Sesi perbahasan itu dimulakan oleh wakil pembangkang, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN- Kinabatangan) yang mempertikaikan tindakan kerajaan membentangkan pindaan itu yang dilihat terburu-buru.

“Jika ikhlas mengapa terburu-buru, apa yang penting perkara dalam Perjanjian Malaysia (MA63) perlu dimasukkan dalam pindaan ini,” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) menjadi wakil penyokong kerajaan yang pertama berbahas menyifatkan pindaan Perlembagaan yang dibawa kerajaan PH satu langkah bersejarah bagi semua rakyat Malaysia kerana kerajaan telah mendengar nasib rakyat Sabah dan Sarawak.

“Perkara ini telah dibahaskan sejak sekian lama dan kami mendengar suara rakyat Sabah dan Sarawak. Perdana Menteri kita (Tun Dr Mahathir Mohamad) telah berjanji, dengan berani mengorak langkah memindanya tanpa melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Pindaan yang ingin dibawa ini juga membuktikan kerajaan PH mengesahkan apa yang disepakati pemimpin terdahulu mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Anwar berkata, ada beberapa pihak mempersoalkan keberkesanan sama ada pindaan itu tidak berkesan.

“Selepas setengah abad, Perdana Menteri mengambil langkah penting yang pertama untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang turut membahaskan RUU itu berkata, beliau yakin RUU tidak perlu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, beliau yakin hak-hak lain di bawah MA63 akan dipatuhi dan dikembalikan semula dengan pindaan RUU itu.

“Ini adalah mengenai pemulihan status (sebagai wilayah serantau). Ini adalah permulaan untuk MA63 dikembalikan,” katanya.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran) berkata, pembentangan RUU itu perlu dipersetujui oleh pembangkang kerana ia langkah pertama yang menunjukkan kesungguhan kerajaan PH melayan tuntutan Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan sebelum ini tidak seberani ini walaupun sudah mewujudkan pelbagai jawatankuasa berhubung isu sama rata hak Sabah dan Sarawak, jadi saya merayu sokong lah pindaan ini,” katanya.

Rata-rata ahli parlimen pembangkang pula mahu isu berkenaan dibawa ke Jawatankuasa Pemilih sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub menggesa isu berkaitan dirujuk kepada Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat dan dirujuk atau dibahaskan di peringkat kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Penggerang) mempertikaikan pembahagian dua negeri dalam Persekutuan dan mahukan penjelasan mengenai taraf Sabah dan Sarawak sama dengan 11 negeri di Tanah Melayu.

Dalam perbahasan sama, Datuk Takiyuddin Hasan (PAS-Kota Bharu) berkata, pindaan itu tidak nampak sebagai memberi hak perkongsian hak yang sama untuk Sabah dan Sarawak dengan negeri Persekutuan yang lain.

“Adalah lebih baik dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat sebelum ia dipinda,” katanya.

Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petrajaya) mahu isi dalam perjanjian MA63 dimasukkan dalam RUU berkenaan kerana ia lebih penting dan menjadi kegusaran orang Sabah dan Sarawak.

“Perjanjian MA63 adalah mencerminkan persetujuan Sarawak dan Sabah melucutkan hak mereka sebagai sebuah negara menjadi sebuah negeri bagi membentuk Malaysia. Jadi jangan tergesa-gesa pinda Perlembagaan jika sekadar pinda Fasal (2) Perkara 1 sahaja,” katanya.

Datuk Seri Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong) mahu isu dalam Perjanjian MA63 diteliti sebelum Perkara 1 Perlembagaan dipinda.

“Kami mohon ia diteliti lebih lanjut, dibawa ke Jawatankuasa Pilihan supaya ia mencapai objektifnya," katanya.

Datuk Seri Anifah Aman (BEBAS-Kimanis) yang mencelah perbahasan Ronald berkata isu berkaitan hak Sabah dan Sarawak perlu dibuat berhati-hati demi kepentingan kedua-dua negeri berkenaan, bukannya seperti perbincangan bawah pokok dan gerai.

Berita Harian X