Selasa, 9 April 2019 | 11:54pm
DR MAHATHIR membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan Artikal 1(2) pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Bernama

Pindaan Perlembagaan tak dapat majoriti dua pertiga

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 tidak mendapat majoriti dua pertiga untuk diluluskan Dewan Rakyat apabila pengundian dibuat secara belah bahagi, malam ini.

Pengundian dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggulung perbahasan mengenai pindaan itu mulai jam 9.30 malam.

Keputusan undian yang dijalankan mendapati 138 daripada 221 wakil rakyat mengundi bersetuju RUU itu diluluskan, manakala 59 wakil rakyat tidak mengundi.

Kerusi Sandakan kini kosong selepas wakil rakyatnya meninggal dunia minggu lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan perkara itu sebaik selesai pengiraan undian belah bahagi berkenaan.

“Dengan itu, usul ini tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali ketiga,” katanya sebelum menangguhkan sidang Dewan Rakyat.

Dengan keputusan itu, cubaan pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) meminda Perlembagaan Persekutuan tidak dapat diteruskan.

Keputusan undian belah bahagi menetapkan mana-mana pindaan Perlembagaan hanya boleh dipinda jika mendapat undi majoriti dua pertiga atau 148 kerusi daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat sebanyak 222.

Ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019, Dr Mahathir berkata, pindaan kepada Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan bertujuan mengembalikan semula status asal Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia 1963.

Perdana Menteri berkata, pindaan dibuat kerana kerajaan menyedari hasrat dan tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak agar kedudukan seperti yang dipersetujui ketika Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimeterai dan Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 dapat dizahirkan semula.

“Pindaan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan itu adalah titik dan masa sangat sesuai bagi kerajaan Pakatan Harapan mengambil langkah pertama dalam merealisasikan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak selaras dengan MA63.

“Pindaan ini, dalam apa-apa cara, tidak mengubah fungsi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di bawah sistem federalisme diamalkan di negara ini,” katanya.

Pada 4 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat.

Apabila Malaysia dibentuk melalui Perjanjian Malaysia 1963, Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan memasukkan definisi negeri-negeri Persekutuan terdiri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, serta Singapura.

Bagaimanapun, pindaan Perlembagaan pada 1976 menyenaraikan Sabah dan Sarawak, termasuk dalam negeri Persekutuan hingga sekarang.

Mengenai cadangan daripada Sabah dan Sarawak supaya Kerajaan Persekutuan meminda tafsiran bagi ungkapan ‘The Federation’ di bawah Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, Dr Mahathir berkata: “Kerajaan tidak bercadang untuk meminda tafsiran itu kerana tafsiran sedemikian dihasratkan untuk digunakan dalam beberapa peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan yang masih berkuat kuasa”.

Bagaimanapun, katanya, Sabah dan Sarawak akan terus menikmati hak istimewa sedia ada yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan seperti yang perlu dilaksanakan di bawah MA63.

Dr Mahathir menegaskan, pindaan dibentangkan hari ini, tidak dibuat secara terburu-buru untuk memenuhi kehendak mana-mana pihak, malah ia membuka jalan reformasi undang-undang demi capai hasrat semua rakyat.

“Pindaan ini perlu dilihat sebagai satu entiti tanpa ada pemisahan Malaysia Timur dan Malaysia Barat,” katanya sambil menegaskan perpaduan negara hendaklah menjadi agenda utama semua pihak yang membentuk Malaysia bagi memastikan negara terus maju dan berdiri teguh sebaris dengan kuasa besar di dunia.

Dr Mahathir berkata, pindaan diambil kerajaan ini adalah keputusan wajar dalam merealisasikan tuntutan Sabah dan Sarawak seperti dikemukakan dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan MA63.

“Jawatankuasa yang terdiri wakil Kerajaan Persekutuan dan wakil Sabah dan Sarawak termasuk Ketua Menteri, sudah memutuskan bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan supaya diperuntukkan semula peruntukan sama seperti pada 1963 dengan ubahsuaian perlu,” katanya.

Berita Harian X