Selasa, 9 April 2019 | 11:58pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Sairien Nafis.

Syed Saddiq pertahan tindakan 4 ahli akademik

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan tindakan empat ahli akademik yang didakwa menyerahkan rumusan eksekutif mengenai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kepada Majlis Raja-Raja.

Beliau menegaskan tindakan mereka adalah sebahagian daripada kebebasan akademik yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) dalam meraikan demokrasi dan perbezaan pandangan.

“Saya tak setuju untuk apa-apa tindakan, seperti pemecatan diambil terhadap mereka.

“Walaupun saya secara keras tak bersetuju dan berbeza pendapat dengan empat ahli akademik ini, saya akan tetap pertahan hak mereka atas kebebasan akademik untuk menyampaikan pandangan kerana ini budaya demokrasi yang harus kita raikan.

“Orang ramai ada hak membidas pandangan mereka, namun jangan kita terus menghukum dengan mengambil tindakan ke atas mereka hanya kerana mereka tidak sependapat dengan kita,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas rumusan eksekutif mengenai Statut Rom ICC oleh empat ahli akademik yang didakwa berat sebelah yang diserahkan kepada Majlis Raja-Raja, mengundang kritikan dan desakan beberapa pihak untuk mereka diambil tindakan.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, kedudukan empat ahli akademik berkenaan akan dibincangkan di peringkat kementerian.

Bagaimanapun, dalam laporan berasingan, Nie Ching menafikan perkara itu dan menegaskan kenyataannya disalah lapor, kerana beliau sebenarnya merujuk kepada kumpulan aktivis pelajar yang mendedahkan dokumen itu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq mengakui ada pihak yang mendesaknya memecat seorang daripada ahli akademik itu, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad yang juga Pengerusi Lembaga Institut Sukan Negara (ISN), iaitu agensi Kementerian Belia dan Sukan.

Katanya, desakan itu tidak masuk akal kerana tugasnya di ISN tiada kaitan dengan pandangan peribadinya dalam isu Statut Rom.

“Bila ada pihak berkata saya harus ambil tindakan ke atas Prof Rahmat yang saya lantik sebagai Pengerusi Lembaga ISN akhir tahun lalu, saya tak setuju.

“Saya akan pertahankannya walaupun tak setuju dengan pandangannya kerana beliau jalankan tugas yang baik membersihkan ISN serta melebarkan rangkaian ISN di universiti seluruh negara,” katanya.

Ahad lalu, sembilan aktivis pelajar mendedahkan rumusan eksekutif kertas kerja itu yang diserahkan kepada Majlis Raja-Raja, dan didakwa menjadi punca kepada keputusan kerajaan menarik balik ratifikasi Statut Rom ICC itu.

Selain Rahmat yang juga Pensyarah undang-undang dan Perlembagaan, ahli akademik lain yang dinamakan ialah, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz; Dr Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

Berita Harian X