Rabu, 10 April 2019 | 12:07am
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong. - Foto Mikail Ong.

PH kecewa pembangkang gagalkan usaha kembalikan status Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Wakil Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dari Sabah dan Sarawak kecewa dengan tindakan pembangkang yang menggagalkan usaha kerajaan mengembalikan status kedua-dua negeri itu setaraf dengan Semenanjung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong, sedih kerana pembangkang, khususnya Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, tergamak mensia-siakan peluang keemasan mengembalikan status kedua-dua negeri itu.

Katanya, keputusan mereka untuk tidak bersetuju dengan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 adalah tidak adil serta merugikan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Ini akan menjadi sejarah di mana generasi akan datang boleh lihat bahawa pembangkang menolak usul ini untuk kembalikan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung.

“Mereka akan menjadi satu kumpulan yang telah menjejas dan menjatuhkan RUU ini dan sejarah akan menghukum mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, menyifatkan Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengutamakan kepentingan politik berbanding hak Sarawak apabila menolak RUU itu.

“Saya rasa mereka ego untuk menerima apa-apa yang dibawa pihak lawan. Mereka mengutamakan kepentingan politik berbanding mengembalikan status Sarawak.

“Saya tak sangka mereka tolak. Status Sarawak boleh kembali seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 malam ini, tapi kerana GPS, Sarawak kekal sebagai satu daripada 13 negeri,” katanya.

Terdahulu, ketika undian belah bahagi di Dewan Rakyat, hanya 138 undi yang bersetuju dengan RUU itu, 59 tidak mengundi dan tiada yang menolak.

Menerusi keputusan itu, RUU bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak selaras Perjanjian Malaysia 1963 itu, tidak dapat diluluskan kerana ia memerlukan majoriti dua per tiga atau 148 daripada 222 Ahli Parlimen.

Berita Harian X