Rabu, 10 April 2019 | 8:45am
Noor Azizi (belakang berdiri tujuh, kanan) bersama pengamal media pada Majlis Jalinan Mesra Pengurusan UMK Bersama Media Kelantan, malam tadi. - Foto BERNAMA
Noor Azizi (belakang berdiri tujuh, kanan) bersama pengamal media pada Majlis Jalinan Mesra Pengurusan UMK Bersama Media Kelantan, malam tadi. - Foto BERNAMA

UMK manfaat peranan pemain industri perkasa bidang keusahawanan

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan memanfaatkan kerjasama yang dijalin dengan pemain industri dalam memperkasa peranannya sebagai sebuah universiti keusahawanan.

Naib Canselor UMK, Prof Noor Azizi Ismail, berkata ia termasuk kerjasama dengan 400 syarikat berdaftar yang ditubuhkan pelajar universiti itu sejak penubuhannya 12 tahun lepas.

“Kita akan manfaatkan kelebihan ini sebaik mungkin dalam usaha meningkatkan kemahiran berniaga kepada pelajar yang masih mengikuti pengajian selain menjadi penasihat kepada pensyarah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Jalinan Mesra Pengurusan UMK Bersama Media di sini, malam tadi.

Majlis tersebut diadakan bagi mengukuhkan hubungan antara pengurusan UMK dan media dalam usaha mengangkat peranan dan keupayaan UMK sebagai pemacu sosioekonomi tempatan dan negara.

Kira-kira 50 pengamal media hadir pada majlis tersebut termasuk Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Mohd Azran Fitri Abdul Rahim dan semua ketua biro media Kelantan.

Dalam pada itu, Noor Azizi berkata, dalam usaha menjadikan UMK antara universiti terunggul di rantau Asia, kerjasama telah ditandatangani dengan beberapa universiti luar negara termasuk 10 universiti di Indonesia.

Katanya kerjasama itu akan memberi kelebihan kepada UMK untuk memasarkan produk yang dihasilkan selain berkongsi hasil penyelidikan.

“UMK juga telah dijemput menyertai pameran inovasi di Beijing, China hujung bulan ini. Kita akan mempamerkan 12 inovasi terkini yang dihasilkan UMK pada pameran itu,” katanya.

Noor Azizi berkata, beliau optimis UMK akan setanding universiti lain dalam masa terdekat malah dalam tempoh 10 tahun UMK mampu menjadi antara universiti keusahawanan terbaik dunia. – BERNAMA

Berita Harian X