Rabu, 10 April 2019 | 12:29pm
AHLI Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. - NSTP/Salhani Ibrahim

'Bukan kami tidak sokong pindaan RUU' - Rohani

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan tidak menyokong Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan yang bentang di Parlimen, malam tadi.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata mereka mahu perkara itu dihalusi dengan terperinci, bukan sekadar mengatakan Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi dalam Malaysia.

Beliau berkata, banyak perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diberi perhatian satu persatu dan GPS tidak boleh menyokong secara membuta tuli kerana bimbang akan mengakibatkan hakisan hak sebagai rakan kongsi yang belum diperincikan lagi.

“Semalam buat kali pertama dalam sejarah satu pindaan RUU Perlembagaan Persekutuan ditolak.

“Kegagalan mendapat undi dua pertiga daripada Ahli Parlimen mengenai RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan itu perlu dijadikan iktibar oleh Kerajaan Persekutuan bahawa rakyat Sarawak serius mahukan perkara ini dilakukan secara holistik dan tidak tergesa-gesa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rohani berkata, GPS sudah memohon pindaan itu dibawa ke peringkat Jawatankuasa Khas, namun tidak diendahkan.

“Malah, kami pula dituduh mengkhianati kepentingan Sarawak dan ini jelas tidak benar. Kami tidak mahu hak kita sebagai anak Sarawak diperkotak-katikkan di kemudian hari jika mengiyakan pindaan RUU ini yang tidak menyatakan dengan jelas berkenaan kepentingan Sarawak,” katanya.

Katanya, perkataan ‘Berdasarkan Semangat Perjanjian Malaysia 1963’ perlu dimasukkan dengan jelas sebagai jaminan Sarawak tidak akan kehilangan hak selama ini diperjuangkan untuk dikembalikan.

“Justeru, saya ingin menegaskan, khususnya kepada semua rakyat Sarawak, kami Ahli Parlimen GPS tidak menolak pindaan itu, cuma tidak mengundi atau mengambil pendekatan berkecuali hingga menyebabkan majoriti dua pertiga tidak diperoleh.

“Rakyat Sarawak perlu tahu RUU dibentangkan Kerajaan Persekutuan ini hanya ibarat buku yang kulitnya cantik, tetapi langsung tiada isi dan kami mengambil tindakan ini untuk mengelak ketidakadilan kepada kepentingan Sarawak mengikut MA63,” katanya.

Berita Harian X